[VIDEO] 'Saya tak pernah terfikir kebumi isteri dan anak sendiri', penggali kubur 'menyesal' terselamat tragedi tanah runtuh di Papar


  • Massa
  • Rabu, 17 Sep 2025

Jude bersama anak sulungnya Xavier semasa upacara penghormatan terakhir mendiang isteri dan anaknya di Balai Raya Kampung Mook.

SEORANG pengurus jenazah berdepan detik paling menyayat hati dalam hidupnya apabila terpaksa mengurus dan memandikan sendiri jenazah isteri serta anak kandungnya yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Mook, Papar, Sabah baru-baru ini.

Jude Joseph, 41, kehilangan isterinya, Emily Johnny, 38, dan anak bongsu mereka, Xarell Myre Jude, 11, selepas rumah keluarga mereka ditimbus tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan.

“Saya bekerja sebagai pengurus jenazah dan sudah menguruskan ramai jenazah sepanjang kerjaya, namun tidak pernah terfikir akan mengurus jenazah isteri dan anak saya sendiri,” luah Jude dengan suara sebak.

BACA LAGI: Baju pendekar Melayu tak tepati syarat, ibu dakwa guru tak benarkan anak sertai pertandingan baju kebangsaan

BACA LAGI: Ibu Allahyarham Zara Qairina tolak bedah siasat walau sudah diberi penjelasan — Doktor

Jude (kiri) bersama anak sulungnya.

Menurut Jude, tragedi berlaku kira-kira pukul 8 pagi Isnin lalu ketika dia bangun awal untuk mencuci pakaian, manakala isteri dan anaknya masih tidur kerana hari cuti.

Sementara itu, anak sulung mereka, Xavier Junior Jude, 17, pula berada di bilik berasingan.

“Saya terdengar bunyi runtuhan dari bilik isteri. Saya cuba masuk tetapi runtuhan sudah menutup semua ruang. Saya cuba masuk melalui bumbung, tapi kereta saya yang terangkat ke atas bumbung menghalang,” katanya.

Jude juga menceritakan detik cemas apabila masih mendengar suara anak bongsunya tersedak-sedak dalam runtuhan sebelum tiba-tiba menjadi senyap.

“Pada masa itu, saya masih dengar suara anak saya,dia tersedak-sedak dalam runtuhan lepas itu senyap. Saya sanggup bayar berapa saja kalau ada jentera yang cepat datang. Saya menyerah kalah sebab kudrat saya tak kuat,” tambah Jude, menahan sebak.

Jude mengalami kecederaan ringan di kaki selepas tersepit semasa cuba menyelamatkan isteri dan anaknya, tetapi berjaya keluar bersama anak sulung mereka.

Dia mengakui menyesal kerana beredar dari lokasi kejadian ketika bimbang keselamatan diri, tetapi menegaskan perasaan sedih kerana tidak sempat menyelamatkan isteri dan anak bongsunya namun reda dengan ketentuan takdir.

“Anak sulung saya tarik saya keluar dan merayu supaya saya lari. Saya terselamat, tapi saya menyesal. Kalau boleh, saya mahu tinggal dan cuba selamatkan mereka,” katanya pilu.

Pasukan bomba menemui jenazah Emily dan Xarell kira-kira dua jam selepas kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi tragedi.

Emily, yang merupakan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, meninggalkan kenangan yang mendalam buat keluarga.

Jude berkata, dia sendiri menguruskan pengurusan jenazah isterinya dan anaknya.

“Saya memandikan jenazah mereka sendiri dan mendapati banyak batu di dalam mulut anak saya, manakala wajah isteri kelihatan seperti lemas,” katanya.

Jude turut memaklumkan tragedi tanah runtuh itu merupakan kejadian pertama sepanjang mereka menetap di kawasan tepi bukit tersebut.

“Runtuhan datang dari lereng bukit kira-kira 200 meter dari rumah kami. Rumah mertua dan ipar saya yang bersebelahan juga musnah,” ujarnya.

Sebelum ini, rakaman video menunjukkan Jude merayu bantuan semasa kejadian turut tular di media sosial.

“Saya hilang kawalan ketika itu dan merayu sesiapa yang mempunyai jentera untuk datang membantu,” katanya. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram