
PERLAWANAN pembukaan Liga A2 Zon Pantai Timur bertukar suram apabila pasukan Kuala Lumpur Rovers hanya menurunkan enam pemain sahaja dalam aksi menentang Kuantan City FC sekali gus menyebabkan perlawanan tidak dapat diteruskan.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan Kuantan City FC diberikan kemenangan percuma 3-0 selepas KL Rovers gagal menurunkan bilangan pemain minimum yang diperlukan untuk memulakan perlawanan.
Keputusan itu sekali gus memberi tiga mata pertama buat Kuantan City FC dalam saingan musim baharu, namun dalam suasana yang hambar dan penuh tanda tanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super
BACA LAGI: [VIDEO] Ceburi sukan BMX seawal usia 4 tahun, Nur Airen Sofea wakil tunggal Malaysia ke Jepun
Tangkap layar Insta Story Gopi. — Instagram/gopirizqi24
Menurut perkongsian daripada palatao_bola, KL Rovers kini sedang berdepan krisis dalaman yang serius termasuk isu tunggakan gaji yang berlarutan sehingga lapan bulan, sehingga memaksa pasukan bergantung kepada rayuan kepada pemain lama untuk hadir beraksi.
Salah seorang pemain KL Rovers, Muhammad Gopi Rizqi tampil mendedahkan punca sebenar di sebalik insiden memalukan itu, dengan menyifatkan situasi yang berlaku sebagai tidak adil buat pemain.
“Nak main macam mana? Gaji lapan bulan tak bayar, buat aniaya orang saja,” katanya menerusi Insta Story miliknya.
Tambahnya lagi, bekas pemain Sri Pahang FC itu turut mempersoalkan bagaimana kelab masih dibenarkan menyertai liga oleh pihak penganjur meskipun sedang berdepan kemelut kewangan yang kritikal.
“Lagi pelik Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi lepas main liga,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, KL Rovers tersingkir ke Liga A2 selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga tercorot Liga A1 Semi Pro.
Sementara itu, pihak pengurusan KL Rovers masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram