
KEJOHANAN Cabaran Golf Dunia Korporat (WCGC) Malaysia bakal melabuhkan tirainya apabila 20 pasukan korporat terpilih mewakili 20 syarikat ternama bersedia berentap di pusingan akhir yang akan berlangsung di padang golf berprestij, Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam, Selangor pada 25 September ini.
Acara kemuncak tersebut bukan sahaja akan memperlihatkan persaingan bertaraf tinggi, malah meraikan semangat perpaduan dalam sukan, perniagaan dan persahabatan.
Hadiah utama menanti juara nasional yang akan membawa nama Malaysia ke Final Dunia WCGC di Shanghai, China yang dijadual berlangsung bermula 19 hingga 23 Oktober 2025.
BACA LAGI: Terlalu harapkan Ifedayo boleh bawa risiko buat Kelantan TRW
BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi
Mereka akan bertemu wakil daripada 32 negara di Shanghai Dongzhuang Beach Golf Club, dengan Linksland Course menjadi gelanggang utama World Corporate Golf Challenge.
Manakala, Parkland Course menjadi venue kejohanan Sports Legend Cup dan semua peserta akan menginap di hotel rasmi kejohanan, Pudong Shangri-La.
Kejohanan WCGC Malaysia dianjurkan di bawah naungan rasmi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Ini bukan sekadar cabaran golf, tetapi platform yang menghubungkan pemimpin korporat, penaja dan ikon sukan untuk menjalin hubungan dan menonjolkan kecemerlangan.
"Saya teruja untuk menyaksikan semangat persaingan dan kerjasama ketika Malaysia melangkah ke Final Dunia," titahnya.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tengku Amir Shah dijangka berkenan hadir bagi memeriahkan majlis penyampaian hadiah pada pusingan akhir tersebut.
Penasihat WCGC Malaysia, Mohd Salim Mohamed Sain menegaskan bahawa acara tersebut bukan sekadar kejohanan golf korporat yang berprestij, tetapi merupakan sebuah perayaan kecemerlangan korporat, persahabatan antarabangsa, serta semangat persaingan yang sihat.
"Acara ini bukan sekadar kejohanan golf korporat yang berprestij, ia adalah satu perayaan kecemerlangan korporat, persahabatan antarabangsa dan semangat persaingan yang sihat.
"Dengan menganjurkan WCGC di Selangor, kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena sukan korporat di peringkat global," katanya.
Perjalanan menuju pusingan akhir WCGC Malaysia tahun ini menampilkan persaingan sengit melalui empat pusingan kelayakan yang melibatkan lebih daripada 480 pemain.
Pusingan pertama diadakan pada 22 Mei di Kelab Golf Seri Selangor dengan penyertaan seramai 108 pemain, manakala pusingan kedua berlangsung pada 24 Jun di Tropicana Golf & Country Resort, diikuti oleh pusingan ketiga pada 22 Julai di Glenmarie Golf & Country Club yang menyaksikan 132 peserta bertanding.
Sementara itu, pusingan kelayakan terakhir diadakan pada 21 Ogos di Templer Park Country Club dengan 120 pemain mengambil bahagian.
Lima pasukan terbaik dari setiap pusingan layak ke peringkat akhir, menjadikan 20 pasukan golf korporat terbaik Malaysia akan bersaing di Kota Permai GCC untuk merebut gelaran juara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram