
MAHKAMAH Koroner pada Rabu dimaklumkan bahawa ibu Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat menolak bedah siasat ke atas jenazah anaknya walaupun telah diberi penjelasan.
Dr Logaraj Ratha, 33, dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HEQ), Kota Kinabalu, Sabah berkata, memandangkan tiada isu dibangkitkan, pihak hospital menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada ibunya sejajar dengan polisi hospital dan jabatan.
"Selepas menerima pengesahan daripada Noraidah untuk menolak bedah siasat, saya menyerahkan Borang Penolakan Bedah Siasat Atas Permintaan Sendiri kepadanya. Saya turut menerangkan kandungan dokumen itu serta bahagian yang perlu diisi," katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi
Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik hangat dan terus menjadi perhatian seluruh negara tanpa mengira peringkat usia. — Orang Awam/The Borneo Post
Menurutnya, dia turut memaklumkan kepada Noraidah bahawa penolakan bedah siasat akan menyebabkan keluarga tidak dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan rasmi bedah siasat daripada Jabatan Perubatan Forensik pada masa hadapan.
Tambahnya, borang tersebut turut ditandatangani oleh kakak ipar Noraidah, Nur Shira Abdullah sebagai saksi, manakala dia sendiri menandatanganinya sebagai doktor yang mengendalikan kes berkenaan.
"Noraidah mengesahkan bahawa dia memahami penjelasan yang diberikan dan kandungan borang yang telah lengkap diisi serta ditandatangani," katanya.
Terdahulu, Dr Logaraj memaklumkan bahawa pada pukul 5 petang, 17 Julai, dia dimaklumkan tentang satu kematian di Wad Bedah Saraf HQE yang tertakluk kepada siasatan polis.
Mayat yang dikenal pasti sebagai Zara Qairina kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik.
"Antara perkhidmatan yang ditawarkan jabatan ini termasuklah pengambilan, pendaftaran, penyimpanan dan pelepasan mayat daripada wad atau Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada waris, selaras dengan SOP Perkhidmatan Perubatan Forensik Malaysia," jelasnya.
Jenazah Allahyarhamah sudah digali semula bagi tujuan bedah siasat.
Memandangkan kes itu melibatkan siasatan polis, dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada pakar patologi forensik bertugas, Dr Ding Chee Swan dan juga menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung dari IPD Papar.
"Inspektor Wong memaklumkan bahawa dia telah mendapatkan pengesahan punca kematian daripada Dr Pavankumar Balachandran di Jabatan Bedah Saraf, iaitu kecederaan otak traumatik yang teruk serta ensefalopati iskemik hipoksia.
"Dia juga memberitahu bahawa polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61 dan akan merujuk perkara itu kepada pihak atasan sebelum memberi maklum balas," katanya.
Dr Logaraj kemudiannya menerima surat kebenaran pelepasan daripada Inspektor Wong yang membolehkan jenazah diserahkan kepada keluarga tanpa melalui proses bedah siasat perundangan (medico-legal).
"Saya bertemu dengan Noraidah dan kakak iparnya, Nur Shira untuk memaklumkan bahawa Borang Pol. 61 tidak akan dikeluarkan. Saya turut menjelaskan kepada mereka mengenai keperluan dan manfaat menjalankan bedah siasat klinikal.
"Namun, walaupun penjelasan telah diberikan, Noraidah tetap memilih untuk tidak menjalankan bedah siasat ke atas jenazah anaknya," katanya.
Dr Logaraj merupakan saksi ketujuh dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Zara Qairina. — The Star/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram