
SEJARAH pahit 1999 menjadi peringatan jelas buat bola sepak Sarawak. Ketika itu, Brunei mencipta kejutan besar apabila menumbangkan Sarawak 2-1 pada final Piala Malaysia di Stadium Merdeka, sekali gus merampas peluang skuad Ngap Sayot menjulang piala berprestij itu.
Dua jaringan Rosli Liman memadamkan gol tunggal Ramles Sari, dan kemenangan tersebut sehingga kini kekal sebagai satu-satunya kejuaraan Brunei dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Kini, 25 tahun kemudian, meskipun bukan kelab yang sama, Kuching City FC yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Sarawak pula berdepan ujian getir menentang DPMM Brunei dalam saingan Piala FA 2025.
BACA LAGI: Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti
Skuad kendalian Aidil Sharin wajib menampilkan disiplin bertahan yang lebih kemas sambil memaksimumkan kelebihan bermain di laman sendiri. — Facebook Kuching City FC
Kekalahan tipis 2-3 di Bandar Seri Begawan, Brunei bulan lalu meletakkan mereka dalam kedudukan terdesak menjelang aksi timbal balik di Stadium Negeri, Petra Jaya, Ahad ini.
Secara taktikal, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak wajib menampilkan disiplin bertahan yang lebih kemas sambil memaksimumkan kelebihan bermain di laman sendiri.
Skuad The Cats perlu sekurang-kurangnya menang 2-0 untuk mara, bermakna jentera serangan mesti tajam, manakala benteng pertahanan tidak boleh lagi dibolosi mudah.
Sejarah pahit 1999 menjadi peringatan jelas buat bola sepak Sarawak. Ketika itu, Brunei mencipta kejutan besar apabila menumbangkan Sarawak 2-1 pada final Piala Malaysia di Stadium Merdeka, sekali gus merampas peluang skuad Ngap Sayot menjulang piala berprestij itu. pic.twitter.com/XqiNlZI5Yh
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) September 9, 2025
Hakikatnya, Brunei DPMM sering dianggap sebagai ‘pasukan kerdil’ dalam saingan tempatan, tetapi rekod silam membuktikan mereka mampu menghadirkan kejutan besar apabila dipandang rendah.
Kuching City tidak boleh mengulangi kesilapan Sarawak pada 1999 dan sebarang kelalaian bakal membuka ruang buat Brunei sekali lagi meruntuhkan harapan bola sepak Bumi Kenyalang.
Meskipun bukanlah pilihan untuk menjuarai pertandingan itu, kejayaan meloloskan diri ke pusingan suku akhir pasti diharapkan penyokong yang teruja dengan kebangkitan semula bola sepak di negeri Borneo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram