Pertembungan 2 FA di Liga A1, Perak sudah berhasil tapi apa cerita Kedah?


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Skuad Seladang mula mendapat rentak dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini. — Facebook/Perak FA

PENYERTAAN pelbagai pasukan dalam Liga A1 Semi Pro musim ini menyaksikan pertandingan itu kian meriah dengan peminat terus memberi tumpuan penuh pada setiap hari perlawanan.

Bagaimanapun, situasi berbeza dialami sebilangan kelab yang belum menemui rentak meskipun sudah hampir sebulan pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu.

Ini termasuk Kedah FA yang meletakkan harapan besar untuk mengasah bakat anak-anak muda di negeri itu susulan penyingkiran Kedah Darul Aman (KDA) FC dari divisyen teratas tanah air.

BACA LAGI: Terhantuk tiang gol ketika 'save' bola, penjaga gol KRW lebih bimbang keputusan atas padang

BACA LAGI: Cklamovski tak mustahil eksperimen gandingkan tonggak JDT, Sabah dan Selangor

Skuad Lang Merah beraksi dalam Liga A1 Semi Pro dalam harapan memberi peluang buat pemain muda dari negeri itu. Facebook/Kedah FA

Penyertaan skuad Lang Merah dalam Liga A1 Semi Pro sebelum ini menyuntik harapan besar dalam kalangan peminat kerana mereka yakin suntikan kerajaan negeri dapat mengelak isu luar padang berlaku.

Malah, untuk membuktikan kesungguhan pihak pengurusan, tiga pemain import ditandatangani iaitu Pape Diakite, Azeez Adam dan Abubakar Yakubu yang masing-masing mampu memberi tunjuk ajar kepada 'ubi muda' Kedah FA.

Tetapi, selepas mengharungi tiga perlawanan, skuad bimbingan Victor Andrag itu hanya berada di kedudukan ketujuh hasil lama mata diraih daripada dua keputusan seri dan satu kemenangan.

Satu-satunya keputusan positif diraih Kedah FA adalah semasa mereka baru-baru ini menundukkan pasukan kedua tercorot, Kelantan Red Warriors (KRW) FC dalam aksi yang berlangsung di laman sendiri.

Adakah pelaburan pihak pengurusan skuad Lang Merah sudah mula membuahkan hasil? Facebook/Kedah FA

Perlawanan itu turut menyaksikan skuad Lang Merah mencetak gol pertama bagi kempen 2025/26 selepas kedua-dua aksi lebih awal berdepan Perlis GSA FC dan Perak FA berakhir dengan keputusan seri.

Keadaan semasa dialami kelab Utara tanah air itu tidaklah begitu mengecewakan sekiranya hendak dibandingkan dengan pencabar lain dalam Liga A1 Semi Pro yang ada dalam kalangan mereka belum merekodkan sebarang kemenangan.

Bagaimanapun, sekiranya hendak dilihat dari segi pelaburan dibuat, sebarang keuntungan belum dirasai memandangkan khidmat import lebih ditagih berbanding 'ubi muda' pasukan dengan situasi tersebut jelas terpesong dari objektif utama.

Malah, sekiranya perbandingan dibuat dengan sebuah lagi pasukan yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri iaitu Perak FA, jurang besar dapat disaksikan dari segi prestasi atas padang.

Perak FA berada di tangga ketiga sementara Kedah FA hanya boleh berpuas hati di tangga ketujuh liga. Facebook/AFL

Perak FA mengambil keputusan beraksi dalam Liga A1 Semi Pro selepas Perak FC gagal memperoleh lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2025/26 dengan situasi itu sama seperti mana dialami KDA FC.

Cita-cita sama dengan Kedah FA dipasang apabila pihak pengurusan mengharapkan skuad Seladang dapat menjadi platform buat pemain muda negeri mengasah bakat.

Selain itu, untuk memberi tunjuk ajar buat 'ubi muda', dua pemain import dibawa masuk iaitu Christian Chukwu dan Aliyu Abubakar untuk memberi senjata lengkap buat pengendali, Syamsul Saad.

Namun, setiap keputusan diambil Perak FA mula membuahkan hasil selepas dua kemenangan dan satu keputusan seri dicatatkan dari empat perlawanan meletakkan mereka di kedudukan ketiga.

Sumbangan pemain tempatan sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat skuad Seladang. Facebook/Perak FA

Pulangan dari segi jaringan dan pertahanan juga cukup baik kerana skuad Seladang mencatatkan empat perbezaan gol yang memberi mereka ruang berada di kedudukan selesa dalam carta.

Tidak terhenti di situ, bakat muda dalam pasukan juga mula membuktikan keupayaan masing-masing, terutamanya ketika aksi baru-baru ini menentang Machan FC dengan dua pemain tempatan berada dalam senarai penjaring.

Pulangan tersebut membuktikan skuad Seladang mula menunjukkan hasil di sebalik penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro berbanding pasukan dari negeri jiran mereka itu.

Sekiranya prestasi itu dapat dikekalkan, tidak mustahil sekiranya Perak FA boleh berada dalam kelompok lima terbaik dengan visi untuk kembali ke Liga Super hanya boleh dibentuk pihak pengurusan.

Bagaimanapun, jika mereka memilih untuk kekal bertahun-tahun lagi, ia tidak menjadi masalah kerana kelancaran opersi membuktikan kelab itu berada dalam landasan yang cerah berbanding Kedah FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram