
KECEDERAAN sememangnya menjadi perkara yang paling cuba dielakkan oleh setiap pemain kerana ia bukan sahaja menjejaskan prestasi individu, malah boleh memberi kesan kepada keseluruhan rentak pasukan.
Namun begitu, realitinya, kecederaan adalah sebahagian daripada risiko yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seorang pemain bola sepak.
Dalam jadual perlawanan yang padat dan rutin latihan yang intensif, ancaman kecederaan sentiasa menghampiri tanpa sebarang amaran.
BACA LAGI: [VIDEO] Dengan gaya bersahaja, tonggak Melaka Titans mudah perdaya regu Jepun
Hakikat tersebut menjadikan setiap pemain perlu sentiasa bersedia secara fizikal dan mental untuk berdepan kemungkinan tersebut, meskipun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Itulah lumrah seorang pemain mahupun atlet profesional yang mana kekuatan sebenar bukan hanya diukur ketika mereka berada di puncak, tetapi juga saat mereka diuji dengan kesakitan dan pengorbanan.
Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden membabitkan penjaga gol Kelantan Red Warriors (KRW), Shafiq Afifi Suhaimi yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72 ketika aksi Liga A1 Semi Pro 2025/26 menentang Seoul Phoenix di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Sabtu.
Shafiq Afifi dilaporkan pitam secara tiba-tiba di hadapan gawang selepas dipercayai terhantuk pada tiang gol ketika cuba menyelamatkan percubaan lawan pada minit ke-62.
Dia kemudiannya diusung keluar dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Meskipun tidak menamatkan aksi penuh 90 minit, semangat juang yang ditunjukkan pemain itu tetap menjadi bualan penyokong.
Apa yang lebih mengharukan, menurut perkongsian kakitangan perubatan pasukan di laman Facebook, soalan pertama yang ditanyakan Shafiq selepas sedar bukanlah mengenai kecederaannya sebaliknya, 'berapa keputusan tadi? Kita menang ke?'.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dan ketangkasan Shafiq selama lebih 70 minit nyata menjadi antara faktor utama KRW tidak dibolosi dalam pertembungan tersebut.
Dalam perkembangan terkini, Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC, Wann Fajarul, mengesahkan bahawa keputusan imbasan CT mendapati Shafiq berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan serius termasuk tiada keretakan atau pendarahan dalaman.
Rahadiazli Rahalim terpaksa dikejarkan ke hospital sewaktu beraksi dalam perlawanan Liga Super bertemu Melaka United.
Insiden tersebut turut mengingatkan peminat bola sepak kepada situasi hampir serupa yang menimpa penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim ketika aksi Liga Super menentang Melaka United pada musim 2022.
Rahadiazli ketika itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan pemain lawan, Harith Naem Jaineh ketika menyelamatkan bola dalam kotak penalti.
Perlawanan terpaksa dihentikan selama hampir enam minit untuk memberi ruang kepada pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan.
Menariknya, sama seperti Shafiq, Rahadiazli juga dikatakan tidak bertanya tentang keadaannya selepas sedar sebaliknya ingin tahu keputusan perlawanan.
TFC akhirnya menang bergaya 5-0 dalam aksi tersebut, hasil jaringan tiga bekas pemain Sang Penyu, Kipre Tchetche yang meledak hatrik dan dua gol masing-masing dicetak oleh Kpah Sherman dan Nik Sharif Haseefy.
Kisah Shafiq Afifi dan Rahadiazli membuktikan bahawa kesetiaan dan semangat juang pemain bola sepak sejati tidak terhenti walau dalam keadaan paling lemah.
Mereka meletakkan pasukan di hadapan, menjadikan lencana di dada lebih bermakna daripada rasa sakit yang dialami. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram