Biar sepi dalam Liga Super, tonggak JDT, Sabah dan Selangor lebih cemerlang di pentas Piala FA


  • Podium
  • Selasa, 09 Sep 2025

Darren Lok menduduki carta terats penjaring terbanyak Piala FA selepas meledak hatrik dalam aksi pembukaan. — Facebook/Sabah FC

TUMPUAN peminat bola sepak negara ketika ini dialihkan kepada aksi di pentas antarabangsa dengan perlawanan persahabatan berdepan Singapura dan Palestin menyajikan persembahan cukup baik.

Jadi, dengan dua perlawanan tersebut sudah berlangsung, tumpuan pemain dan peminat kini kembali beralih kepada saingan di peringkat kelab yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Di pentas domestik, aksi Piala FA dan Liga Super yang bakal dimainkan pada pertengahan September sudah tentu dinanti-nantikan kerana setiap kelab mahu terus mencapai konsistensi di atas padang.

BACA LAGI: 'Last minute signing', syukurnya bintang import Liga Super sempat kena ikat sebelum 'transfer window' ditutup

BACA LAGI: Belum beraksi Liga Super, bintang muda Selangor antara yang diberi kepercayaan Nafuzi 

Saingan Piala FA akan berlangsung dengan lapan pasukan merebut slot ke suku akhir.

Saingan Piala FA yang sebelum ini dilangsungkan bagi pusingan kali pertama akan dimainkan mengikut format timbal balik dengan sesetengah pasukan masih mempunyai peluang untuk meloloskan diri ke suku akhir.

Pertembungan pertama yang sudah berlangsung turut menyaksikan beberapa pemain mudah mencetak gol untuk membantu kemenangan pasukan dengan sumbangan itu meletakkan mereka sebelah kaki ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, prestasi ditonjolkan dalam kejohanan edisi ke-35 itu sedikit berbeza kerana ada beberapa nama dalam senarai penjaring masih tumpul dalam saingan Liga Super.

Meskipun perbezaan tidaklah begitu ketara antara kedua-dua pertandingan berkenaan, berikut merupakan tiga pemain yang sudah meledak dalam saingan Piala FA, namun situasi sebaliknya berlaku dalam aksi Liga Super.

1. Darren Lok

Sabah FC memulakan kempen Piala FA dengan langkah kanan selepas menundukkan kelab Liga A1 Semi Pro, Bunga Raya FC dengan keputusan 6-0 di tempat lawan.

Perlawanan tersebut menyaksikan penyerang utama Sang Badak, Darren Lok meledak hatrik pertamanya musim ini untuk memudahkan kemaraan kelab Borneo tanah air itu ke suku akhir.

Ketiga-tiga gol dicetak ketika perlawanan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan itu juga menyaksikan pemain Harimau Malaya berkenaan menduduki tangga teratas dalam carta penjaring terbanyak Piala FA.

Darren Lok terus buntu memburu jaringan di pentas Liga Super. Facebook/Sabah FC

Namun, beza pula kisahnya dalam saingan Liga Super kerana penyerang berpengelaman terbabit belum meledak sebarang jaringan yang juga menjadi punca di sebalik prestasi tidak menentu pasukan.

Berdasarkan statistik, Darren Lok yang sudah beraksi dalam dua perlawanan liga hanya melakukan dua percubaan ke arah pintu gol dengan satu daripadanya menepati sasaran.

Penyerang kelahiran England itu perlu segera meledak memandangkan Sabah FC memerlukan jaringannya untuk menambah baik kedudukan dalam carta secepat mungkin.

2. Jonathan Silva

Selain Sabah FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang hadir sebagai juara bertahan Piala FA turut meraih kemenangan besar dalam aksi pembukaan ketika berdepan UM-Damansara United.

Lima gol yang dicetak ketika perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu memberi keyakinan buat skuad Harimau Selatan mempertahankan trofi itu untuk kali keempat berturut-turut.

Malah, aksi berkenaan turut menyaksikan bek kiri pasukan, Jonathan Silva merobek gawang lawan sebanyak dua kali dengan kedua-duanya terhasil menerusi penyudah jarak dekat.

Silva membuka akaun jaringan buat skuad Harimau Selatan di pentas Piala FA. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Persembahan itu menceritakan bahawa semua pemain dalam skuad Harimau Selatan mampu meledak sekiranya diberikan peluang dengan pertahanan sayap tersebut menjadi contoh terbaik.

Bagaimanapun, seperti mana dihadapi Darren Lok, Silva masih menanti gol pertama Liga Super 2025/26 meskipun sudah terlibat dalam semua tiga perlawanan buat skuad bimbingan Xisco Munoz.

Penantian itu dilihat akan berakhir tidak lama lagi kerana dia diberi kebebasan membantu jentera serangan memandangkan dua bantuan jaringan sudah terhasil setakat ini.

3. Faisal Halim

Dalam keempat-empat aksi Liga Super, Faisal Halim sebenarnya berkali-kali berpeluang mencetak gol buat Selangor FC apabila diberikan ruang cukup cantik di hadapan pintu gawang lawan.

Namun, nasib jelas tidak berpihak kepada pemain kebangsaan itu kerana percubaannya kerap kali tersasar atau ditepis penjaga gol cekap setiap kali dia diturunkan.

Faisal terus menunggu jaringan pertamanya di pentas Liga Super 2025/26. Facebook/Selangor FC

Tetapi, pemain berusia 27 tahun tersebut sudah meledak musim ini setelah menjaringkan dua gol semasa skuad Gergasi Merah menundukkan Malaysian University FT di perlawanan pertama Piala FA.

Dua jaringan disumbangkan penyerang sayap itu membantu Selangor FC mencatatkan kemenangan 3-1 yang sedikit sebanyak memberi keselesaan bagi aksi timbal balik.

Faisal juga sudah tentu berkobar-kobar untuk menamatkan penantian di pentas Liga Super dalam misi menjadikan pasukannya pencabar utama ke atas pendahulu, JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram