Terhantuk tiang gol ketika 'save' bola, penjaga gol KRW lebih bimbang keputusan atas padang


  • Podium
  • Ahad, 07 Sep 2025

Tanpa sebarang kecederaan serius dihadapi Shafiq Afifii termasuk tiada keretakan mahupun pendarahan dalaman di kepala. — Facebook/Wann Fajarul

HASRAT Kelantan Red Warrior (KRW) FC mengutip tiga mata kecundang apabila diikat 0-0 Seoul Phoenix dalam aksi kedua Liga A1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.  

Bukan hanya tidak berhasil mendapatkan sebarang mata di laman sendiri, pasukan Pantai Timur berkenaan juga terpaksa menanggung keperitan apabila penjaga gol mereka iaitu Shafiq Afifi Suhaimi dikeluarkan pada minit ke-72. 

Shafiq Afifi tiba-tiba pitam di hadapan gawang dipercayai selepas terhantuk pada tiang ketika cuba menyelamatkan percubaan lawan pada minit ke-62 hingga terpaksa diusung ke ambulans sebelum dibawa ke hospital.

BACA LAGI: Tonggak TRW kongsi sebab pilih Kelantan, puas hati ikat Sabah di Likas

BACA LAGI: Belasah kelab Liga A1 bukan alasan Sabah FC pandang rendah Kelantan TRW

Walaupun tidak menghabiskan tugasnya sehingga ke penghujung permainan, semangat juang pemain berkenaan menjadi bualan penyokong berikutan dia masih mementingkan keputusan perlawanan meskpun dalam keadaan cerah. 

Perkara itu dikongsikan oleh pengguna akaun Facebook difahamkan milik kakitangan, Pikbum yang berkongsi keadaan semasa mengenai Shafiq Afifi ketika dia melawat penjaga gol itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

"Shafiq terhantuk tiang gol semasa menyelamatkan percubaan bola berbahaya daripada pasukan Seoul Phoenix dalam perlawanan malam tadi (Sabtu). Tamat perlawanan, Shafiq terus dikejarkan ke HRPZ. 

"Apa yang menyentuh hati, setibanya kami di sana, beliau langsung tidak bertanyakan tentang keadaan dirinya sebaliknya soalan pertama yang keluar dari mulutnya 'Berapa keputusan tadi? Kita menang ke?' 

"Kami tersentuh hati walaupun tiga mata tidak berjaya dibawa pulang, pengorbanan Shafiq membuktikan semangat juang beliau dalam pasukan Kelantan Red Warrior FC Pakat doa agar Shafiq segera pulih dan boleh bermain aksi seterusnya pada 13/9 nanti," kata Pikbum. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC, Wann Fajarul di Facebooknya yang berkongsi bahawa hasil pemeriksaan mendapati keputusan imbasan CT berada dalam keadaan normal, tanpa sebarang kecederaan serius termasuk tiada keretakan mahupun pendarahan dalaman di kepala.

Dia dalam masa sama menzahirkan penghargaan atas doa serta sokongan peminat bola sepak tanah air yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan penjaga gol berusia 26 tahun berkenaan. 

"Pagi ini dapat update dari hospital tiada perkara serius. Result CT scan normal, tiada patah dan tiada pendarahan dalam kepala. Cuma perlu rehat fizikal dan mental 24-48 jam sebelum return to play. 

"Dia telah berjuang sebaik mungkin dengan semangat kemahiran yang dia ada. Sama-sana kita doa Shafiq Afifi," pesan Wann di laman Facebook miliknya pada Ahad. 

Untuk info, anak jati Perak berkenaan menyertai pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu pada awal musim ini apabila khidmatnya tidak lagi digunakan Penang FC selepas empat musim bersama. 

Bersama Penang FC, Shafiq Afifi membuktikan kemampuannya apabila menjadi watak penting dalam kempen Piala FA 2023 susulan mencuri tumpuan selepas menyelamatkan dua sepakan penalti disertai 'kertas toyol' berisi nota taktikal yang menghiburkan peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram