
SKUAD Harimau Malaya menerima tamparan awal apabila terpaksa melupakan khidmat dua bek tengah utama menjelang aksi persahabatan menentang Palestin yang dijadual berlangsung pada Isnin.
Pasukan kebangsaan ketika ini berada dalam moral terbaik selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Singapura dalam aksi pemanas badan pertama hasil jaringan Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo.
Momentum tersebut pastinya mahu dikekalkan oleh barisan kendalian Peter Cklamovski dalam perlawanan kedua, yang bakal bermula tepat pukul 9 malam waktu tempatan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor nanti.
BACA LAGI: ‘Flop’ di NSFC, bek Nigeria dipersoal jadi pilihan Perak FA bukannya penyerang
Facundo Garces (kiri) dan Dion Cools tidak dapat digunakan apabila kedua-dua pemain dijadual kembali ke kelab masing-masing.
Bagaimanapun, khidmat dua tonggak pertahanan, Facundo Garces dan Dion Cools tidak dapat digunakan apabila kedua-dua pemain dijadual kembali ke kelab masing-masing.
Menurut pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman X, Garces akan kembali ke Sepanyol bagi menghadapi aksi La Liga, manakala Cools akan pulang ke Cerezo Osaka.
Ketiadaan dua pemain berpengalaman itu pastinya dirasai, namun ia tidak dijangka menjejaskan persiapan keseluruhan pasukan memandangkan beberapa nama lain turut berpotensi mengisi kekosongan tersebut.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain pertahanan tempatan yang dilihat layak dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar ini dalam aksi menentang Palestin.
1) Shahrul Saad
Pengalaman dan rekod cemerlang Shahrul Saad bersama skuad kebangsaan menjadikan bek Johor Darul Ta'zim (JDT) itu antara calon utama menggantikan dua tonggak pertahanan Harimau Malaya yang terpaksa diketepikan.
Dikenali sebagai Badak, Shahrul sudah menyarung jersi kebangsaan sejak 2016 dengan lebih 50 penampilan antarabangsa, selain dikenali dengan kebolehan membaca permainan serta kekuatan fizikal yang mantap.
Shahrul Saad merupakan pemain pertahanan berpengalaman luas dalam mewakili skuad kebangsaan Malaysia. — Facebook/Malaysia NT
Walaupun hanya mencatatkan tiga penampilan dalam Liga Malaysia musim ini, faktor tersebut tidak menjejaskan statusnya kerana pengalaman antarabangsa yang dimilikinya cukup luas untuk menjadikannya aset penting buat pasukan kebangsaan.
Dalam suasana persaingan sengit bagi mengisi posisi pertahanan, kehadiran semula Shahrul dilihat sebagai langkah tepat bagi mengimbangi semula kekuatan Harimau Malaya menjelang aksi penting akan datang.
2) Dominic Tan
Pertahanan Sabah FC, Dominic Tan muncul antara calon utama bagi mengisi kekosongan benteng Harimau Malaya susulan prestasi konsisten bersama kelab dan skuad senior sejak 2019.
Bek berketinggian 1.83 meter itu membawa pengalaman berharga hasil penglibatannya dalam Liga Thailand bersama Police Tero sebelum kembali ke saingan Liga Malaysia bersama Sabah FC.
Sehingga kini, Dominic telah mengumpul lebih 30 penampilan antarabangsa, menampilkan kestabilan di pentas tertinggi.
Bek kental Sabah FC, Dominic Tan. — Facebook/Malaysia NT
Kekuatan fizikal, kemahiran teknikal serta kecerdasan taktikal menjadikannya antara pertahanan sukar ditembusi.
Kepercayaan barisan kejurulatihan terhadapnya terserlah apabila dia sering menjadi pilihan utama, termasuk tampil dalam empat perlawanan Liga M musim ini bersama Sabah.
Dengan pengalaman dan ketenangan yang dimilikinya, Dominic dilihat sebagai antara nama yang wajar dipertimbangkan untuk memperkuatkan kembali benteng Harimau Malaya.
3) Harith Haiqal
Bek Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar semakin mencuri perhatian sejak melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada Oktober 2024 menentang New Zealand, sebelum meledak gol antarabangsa pertamanya sebulan kemudian menentang Laos.
Pemain berusia 23 tahun itu memulakan karier sebagai penyerang sebelum beralih ke posisi pertahanan, menjadikannya aset versatil dengan kemahiran menyerang dan bertahan yang seimbang.
Latihan sistematik di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut memantapkan asas permainannya.
Bek Selangor FC, Harith Haiqal calon ideal untuk mengisi posisi pertahanan Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT
Harith juga menunjukkan kematangan sebagai kapten Selangor FC dalam beberapa perlawanan penting, sekali gus menonjolkan kepimpinan yang jarang dimiliki pemain seusianya.
Dengan stamina tinggi dan pengaruh positif di atas padang, pemain kelahiran Klang itu dilihat sebagai antara calon ideal untuk mengisi posisi pertahanan Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang Palestin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram