
SELEPAS sembilan musim mencurah bakti, Farizal Marlias akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan masa depannya masih belum diputuskan.
Namun, meskipun belum membuat keputusan berhubung hala tujunya, penjaga gawang terkenal itu masih mempunyai pertalian erat dengan skuad Harimau Selatan kerana masih mengharapkan kejayaan kelab Selatan tanah air itu.
"Saya tidak sabar melihat JDT bagi musim baharu nanti kerana seperti mana kita tahu, mereka banyak membawa masuk pemain baharu dan melihat persiapan pasukan cukup baik dan teliti.
BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Masih tangkas di gawang gol, fans JDT harap Farizal ikut jejak Aidil
Skuad Harimau Selatan dikecewakan Urawa Red Diamonds di pusingan 16 pasukan ACL.
"Kita tertunggu-tunggu akan persembahan pasukan dalam liga tempatan dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite. Ini kerana saya dapat lihat persiapan yang dibuat adalah bagi ACL Elite," katanya kepada Majoriti.
Pemain berusia 39 tahun berkenaan turut meletakkan sasaran agar pasukan bimbingan Xisco Munoz terbabit melangkah lebih jauh dalam saingan peringkat benua itu, terutamanya ke pentas suku akhir.
Sehingga hari ini, pencapaian terbaik skuad Harimau Selatan dalam pertandingan itu adalah apabila mereka mara ke peringkat 16 pasukan, termasuk pada edisi lalu.
Tetapi, setiap kali tiba di pusingan terbabit, JDT kerap kali dikecewakan selepas disingkirkan Urawa Red Diamonds pada 2022 manakala kekecewaan bagi musim 2024/25 adalah selepas ditundukkan kelab Thailand, Buriram United.
Farizal kini bergelar pundit selepas bertahun-tahun bergelar pemain profesional.
Jadi, melihat kepada persiapan kali ini, Farizal percaya kelab terbabit melangkah lebih jauh selepas membawa masuk lambakan pemain baharu di samping menjalankan sesi pramusim cukup baik.
"Saya yakin dengan rekrut baharu dari segi kelebihan dan saya lihat JDT memiliki kekuatan mereka tersendiri. Saya harap mereka dapat melangkah hingga ke suku akhir.
"Jika melepasi peringkat itu sekali pun, ia sudah cukup baik kerana tiada kelab (lokal) mampu capai ke tahap itu kerana ia bukan ACL Two. Ini kerana standard itu cukup berbeza," katanya lagi.
Farizal bersama beberapa pemain senior lain, seperti Safiq Rahim dan Izham Tarmizi mengumumkan tidak lagi bersama skuad Harimau Selatan musim depan yang mahu melakukan perubahan besar-besaran.
Penjaga gol tersebut kini dilaporkan dalam usaha memperoleh lesen kebangsaan selain pada masa sama menceburi bidang pengulasan sebagai pundit bagi Liga Super 2025/26. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram