Sempat dilamar kelab lokal, 2 faktor utama dorong Syafiq Ahmad nekad pilih DPMM


  • Podium
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Syafiq mengakui isu luar padang dialami sepanjang bersama KDA FC membuatkannya teruja memilih DPMM FC. — Facebook/DPMM FC

MESKIPUN belum meraih sebarang kemenangan setakat ini, prestasi ditonjolkan DPMM FC dalam dua perlawanan Liga Super 2025/26 membuktikan kelab itu cukup bersungguh-sungguh.

Mereka yang memulakan kempen dengan keputusan seri 2-2 ketika berdepan PDRM FC di tempat lawan terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan Selangor FC dalam pertembungan di Stadium MBPJ, Selangor pada Selasa.

Dua permulaan itu kelihatan sebagai pulangan mengecewakan daripada skuad kendalian James McAllister, namun persembahan ditampilkan masih menunjukkan kesungguhan dimiliki kelab terbabit.

BACA LAGI: Syafiq Ahmad sah ke Brunei, bakal jadi ‘duri dalam daging’ bekas majikan terdahulu

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

Syafiq secara rasmi menyertai DPMM FC untuk saingan Liga Super 2025/26 pada Julai lalu. Facebook/DPMM FC

Perkara tersebut diakui sendiri penyerang mereka, Syafiq Ahmad yang menegaskan persiapan sebalik tabir dilakukan DPMM FC membuktikan mereka akan mendapat rentak tidak lama lagi.

"Kita tahu mereka beraksi dalam Liga Perdana Singapura sebelum ini dan pihak kelab sendiri mengatakan Liga Malaysia bermain dengan rentak lebih laju.

"Jadi, DPMM FC akan mengambil masa kira-kira dua atau tiga perlawanan untuk menyesuaikan diri dan dengan harapan saya pun dapat membantu pasukan cuba menemui rentak," katanya kepada Majoriti.

Syafiq diturunkan buat kali pertama untuk pasukan baharunya itu ketika menggantikan Nazry Azaman pada minit ke-73 semasa berdepan skuad Gergasi Merah.

Meskipun percubaan tunggal dilakukan tidak mengenai sasaran, penyerang berusia 30 tahun itu membuktikan kesungguhan apabila berkali-kali cuba merebut bola daripada pertahanan lawan.

DPMM FC masih menyesuaikan diri dalam saingan Liga Super 2025/26. Facebook/DPMM FC

Ini merupakan satu penambahan baik buat DPMM FC kerana mereka memerlukan pengalaman sedemikian bagi membantu penyerang utama, Ramadhan Sananta yang masih menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan menyertai kelab terbabit, peledak kelahiran Pulau Pinang berkenaan berkata, dia mahu mencari suasana baharu dalam karier.

"Apa boleh saya katakan selepas musim lalu yang kurang terlibat dalam permainan Liga Super dengan ada isu yang tidak sepatutnya berlaku, saya memilih DPMM FC untuk persekitaran baharu.

"Saya nak lihat bagaimana cara pengurusan pasukan dan Alhamdulillah, buat masa sekarang, ini merupakan kelab yang boleh saya nampak masa depannya boleh kekal bersaing.

"Di samping itu, sebelum membuat keputusan, saya lihat dari segi pihak pengurusan mungkin terdapat tawaran untuk bantu saya terus ke depan. Jadi, atas sebab itu saya memilih kelab ini," jelasnya lagi.

Syafiq mengakui kesukaran hebat dialami sepanjang bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Syafiq turut mengakui terdapat tawaran kelab lain sepanjang jendela perpindahan lalu, namun tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, penyerang tersebut berdepan cabaran hebat ketika bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC musim lalu apabila dikhabarkan tidak menerima gaji untuk beberapa bulan.

Namun, perpindahannya ke Utara tanah air difahamkan dibuat atas status pinjaman dengan itu akan membuatkan bayarannya ditanggung penuh oleh majikan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selepas tempoh tersebut berakhir, Syafiq diberi peluang mencari pasukan baharu selepas kontraknya berakhir dengan terdapat khabar angin mengatakan Terengganu FC berminat akan khidmatnya.

Tetapi, Syafiq kemudian memilih untuk menyertai DPMM FC yang disahkan sebagai pasukan jemputan dalam usaha meningkatkan daya saing dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram