TONGGAK Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz mengakui aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia 2024 di tempat lawan tidak mudah dan perlu bekerja keras untuk raih bekalan selesa, lapor MFL.
Kehangatan Piala Malaysia semakin dirasai dengan perebutan empat pasukan bagi memburu slot ke pentas final musim ini menyaksikan JDT bakal berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menentang Terengganu FC, Jumaat ini.
Muniz bagaimanapun menganggap pertembungan di separuh akhir itu pasti sukar sambil menyifatkan Terengganu FC kini dalam momentum yang baik terutamanya selepas kemenangan mereka dalam saingan Piala Shopee pada 8 Januari lalu.
BACA LAGI: Hatrik Wenzel-Halls ditagih tumbangkan Gergasi Merah di semifinal Piala Cabaran
BACA LAGI: Musim belum habis, 3 pemain JDT dah tinggalkan 'pitch' berehat panjang
Pemain tengah Harimau Selatan, Juan Muniz. — Facebook/JDT
Justeru, amat penting untuk JDT mendapatkan keputusan yang lebih selesa dan kini lebih berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan mudah seperti mana aksi separuh masa pertama Liga Super menentang Sabah FC Sabtu minggu lalu.
“Kita semua tahu Terengganu FC ada ramai pemain-pemain yang bagus apatah lagi sekarang momentum mereka di tahap yang selesa selepas menang di kejohanan antarabangsa.
“Jadi saya percaya perlawanan ini akan lebih sukar berbanding aksi Liga Super dengan kelebihan Terengganu sudah tentu beraksi di tempat mereka sendiri.
“Memang sentiasa sukar beraksi di sana (SSMZA), tetapi kami ingin cuba ambil peluang seawal separuh masa pertama dan kita akan berjuang sehingga ke final”, jelasnya.
Selain pertembungan dua finalis musim 2023 ini, satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Sabah FC yang bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC pada Sabtu bersamaan 18 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram