
KEGAGALAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 di Riyadh, Arab Saudi sememangnya mengecewakan, namun ia dianggap sebagai pengalaman bermakna buat ketua jurulatih iaitu Nafuzi Zain.
Menurut jurulatih kelahiran Kelantan itu, kempen kelayakan di Bangkok menjadi penanda aras penting dalam usaha membentuk pasukan yang lebih mantap menjelang cabaran seterusnya di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand, Disember ini.
Dengan baki kira-kira tiga bulan sebelum temasya Sukan SEA bermula, fokus kini beralih sepenuhnya kepada persiapan rapi bagi memastikan skuad negara mampu memberi saingan kompetitif.
BACA LAGI: Bukan calang-calang, bintang Gergasi Merah kejar tiket ke Piala Dunia
BACA LAGI: ‘Rahsianya bersabar’, 2 tahun teruk dikecam fans Selangor, Quentin Cheng kini ada ‘gaya’
Antara perkara perlu diberi perhatian oleh Nafuzi ialah penilaian semula senarai tonggak sedia ada susulan beberapa pemain muda sebelum ini didapati belum memenuhi tahap kualiti dan prestasi yang diharapkan.
Justeru itu, kepakaran Nafuzi dan Tan Cheng Hoe selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diperlukan untuk merekrut beberapa pemain muda berbakat lagi-lagi yang sedang berada di luar negara memburu pengalaman.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain berpangkalan luar negara boleh berada dalam senarai perlu dipantau Nafuzi dan Cheng Hoe;
1) Paarven Waran
Beraksi di posisi pertahanan tengah, Paarven Waran merupakan salah satu tonggak penting JDT IV pada Piala Belia musim lalu dan sumbangan Paarven dapat membantu pasukan berkenaan merangkul kejuaraan.
Selepas bersama Harimau Selatan, pemain Malaysia-Australia tersebut kini sudah menandatangani kontrak dengan pasukan Divisyen Dua Portugal FC Vizela pada 3 Ogos lepas dan akan menyertai skuad Bawah 19 tahun mereka.
Walaupun pemain berusia 18 tahun itu tidak akan beraksi dalam liga senior buat masa ini, pasukan baharu Paarveen bukan calang-calang kerana pasukan Bawah 19 tahun Vizela telah dinobatkan sebagai juara kebangsaan Divisyen Kedua musim lalu.
Paarven yang memiliki ketinggian 1.92 meter sangat cukup untuk mengadaptasi pemain-pemain yang beraksi di Eropah yang mempunyai kelebihan dalam tubuh badan.
Sebelum ini, penyokong melihat ketinggian Paarven yang menyamai bek tengah Harimau Malaya, Facundo Garces itu dipercayai mampu memperkukuhkan lagi bahagian pertahanan skuad B-23 di Sukan SEA nanti.
2) Dylan Tellado
Pemain muda kelahiran Amerika Syarikat, Dylan Tellado mencuri tumpuan selepas latar belakang warisannya yang unik didedahkan oleh Universiti Harvard, Massachusetts, Amerika Syarikat.
Menurut institusi ternama itu, Tellado mempunyai darah keturunan Sepanyol dan Malaysia, sekali gus membuka kemungkinan untuk mewakili lebih daripada satu negara di peringkat antarabangsa.
Tellado difahamkan pernah beraksi bersama akademi San Jose Earthquakes dikenali sebagai penyerang prolifik ketika di peringkat belia.
Kehebatannya di depan gawang telah membolehkannya dipanggil menyertai kem latihan skuad bawah 14 tahun Amerika Syarikat pada tahun 2020, satu pencapaian besar yang membuktikan potensi besarnya sejak usia muda.
Sekiranya Tellado terbuka untuk mewakili Malaysia dan jika diberi peluang serta layak dari segi peraturan, kehadirannya pastinya akan menjadi suntikan besar kepada pembangunan bola sepak negara.
3) Isaiah Teng
Isaiah Teng mula mencuri perhatian selepas mempamerkan aksi konsisten bersama kelab remaja Sepanyol, Juveniles Velez, sekali gus membuka lembaran baharu buat karier bola sepaknya.
Menariknya, Isaiah mempunyai pilihan unik dalam menentukan masa depannya di peringkat antarabangsa berikutan melalui datuk dan neneknya, dia layak mewakili Malaysia, manakala melalui bapanya pula, dia berhak menyarung jersi kebangsaan Singapura.
Malah, corak permainan agresifnya sering membantu pasukan membuka ruang serangan serta mencipta peluang jaringan, sekali gus menampilkan ciri-ciri seorang pemain sayap moden yang digeruni lawan.
Keupayaan teknikal serta kepantasan larian menjadikan Isaiah aset penting. Dengan kelebihan, tidak hairanlah jika bakat mudanya ini perlu segera berada dalam radar Nafuzi dan Cheng Hoe.
Buat masa ini, Isaiah masih menumpukan perhatian terhadap perkembangan karier di Sepanyol, namun pastinya kedua-dua negara untuk menawarkannya peluang antarabangsa semakin hangat diperkatakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram