
SEJAK menyertai Aston Villa secara pinjaman pada jendela perpindahan kedua musim 2024/25, Marcus Rashford sudah mendapatkan semula keyakinannya apabila kerap diberikan peluang oleh pengurus, Unai Emery.
Dalam tempoh empat bulan bersama kelab itu, pemain antarabangsa England tersebut sudah mencatatkan 15 penampilan dengan empat daripadanya dihasilkan dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Ini termasuk ketika pasukan tersebut berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pertembungan suku akhir kedua pada Rabu yang berakhir dengan kemenangan buat skuad The Villans yang bagaimanapun tidak cukup untuk memastikan kemaraan.
BACA LAGI: Trio Elanga-Rashford-Welbeck lebih baik daripada penyerang sekarang — Legenda Man United
BACA LAGI: Ruben Amorim bakal tanggung padah jika Rashford berjaya di Aston Villa
Sumbangan Rashford belum cukup untuk memastikan Aston Villa mara ke pentas separuh akhir UCL 2024/25. — Agensi
Aksi yang berakhir dengan kemenangan 3-2 buat Aston Villa itu menyaksikan mereka tersingkir menerusi agregat 4-5, sekali gus menamatkan perjuangan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut di Eropah musim ini.
Namun, Rashford masih berjaya mencuri perhatian ramai pihak dalam perlawanan di laman sendiri itu dengan satu bantuan jaringan buat Ezri Konsa pada minit ke-57 permainan.
Sumbangan itu sudah cukup untuk menceritakan peningkatan positif dipamerkan pemain berusia 27 tahun terbabit yang sebelum ini kerap dikritik disebabkan disiplin di luar padang.
Perubahan tersebut turut menerima pujian legenda The Red Devils, Wayne Rooney yang berharap Rashford dapat pulang ke pangkuan Manchester United sambil menyatakan harapan itu juga dikongsikan penyokong.
"Saya harap dia dapat kembali ke kelab lamanya dan mampu memberi persembahan sedemikian. Itulah apa yang mahu disaksikan peminat dan saya yakin dia akan pulang kerana cintanya masih belum pudar.
Rooney teruja menyaksikan peningkatan positif daripada Rashford. — Agensi
"Dia mahu beraksi buat The Red Devils, saya percaya 100 peratus. Sekiranya dia berbuat sebegitu, legasi besar akan dapat ditinggalkan. Saya tak tahu sama ada ia mampu dicapai atau tidak, tetapi ramai mahu melihatnya," kata Rooney.
Sebelum ini, Rashford menyatakan dia belum membuat keputusan mengenai masa depannya dengan peminat berharap pemain terbabit kembali ke pangkuan Manchester United yang disertainya sejak usia tujuh tahun.
Ini kerana rasa cintanya terhadap kelab berkenaan masih utuh meskipun pelbagai kritikan diberi disebabkan prestasi tidak menentu dalam separuh pertama musim 2024/25 di bawah bimbingan Erik ten Hag dan Ruben Amorim.
Bagaimanapun, sebahagian penyokong terbuka sekiranya Rashford memilih untuk terus beraksi buat Aston Villa selepas mula membentuk keserasian dalam jentera serangan di samping Ollie Watkins dan John McGinn.
Kata putus juga belum diberikan Emery yang berasa gembira dengan persembahan penyerang pinjaman terbabit ketika berdepan PSG, tetapi enggan membuat keputusan secara terburu-buru. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram