Man United secara rasmi bida Benjamin Sesko


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Sesko berada dalam radar kelab gergasi sekitar Eropah yang cukup tertarik akan khidmatnya. — Agensi

SEPANJANG jendela perpindahan musim panas ini, Manchester United cukup bersemangat memperkuatkan jentera serangan pasukan selepas membuat pelaburan £133.5 juta (RM750.3 juta) bagi membawa masuk Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.

Kehadiran penyerang yang masing-masing ditandatangani dari Wolverhampton Wanderers dan Brentford itu sudah tentu dapat menaikkan kualiti serangan The Red Devils bagi kempen 2025/26.

Namun, pengurus pasukan, Ruben Amorim seperti belum berpuas hati apabila terus dikaitkan dengan penyerang muda sensasi, Benjamin Sesko yang kini beraksi di Jerman untuk RB Leipzig.

BACA LAGI: Tergugat agaknya tempat dirampas Benjamin Sesko, Hojlund akhirnya nampak ‘berfungsi’ dengan gol pramusim

BACA LAGI: Man United buktikan faktor sejarah mampu tarik pemain ternama walaupun dalam 'zaman gelap'

Mbeumo (kiri) dan Cunha merupakan dua pemain terbaru Manchester United di jentera serangan. — Agensi

Pemain antarabangsa Slovenia itu kuat dikaitkan dengan perpindahan besar pada musim panas ini dengan Newcastle United menjadi sebuah lagi kelab England yang berminat.

Ini selepas penyerang berkenaan menikmati satu musim cukup baik pada 2024/25 apabila meledak 21 gol dengan empat jaringan itu dicatatkan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Jadi, tidak hairanlah apabila RB Leipzig meletakkan tanda harga tinggi buat mana-mana pasukan yang berminat akan khidmat Sesko dengan bidaan Newcastle United mencecah £65 juta (RM366.3 juta) sebelum ini pantas ditolak.

Menyedari tawaran The Toons tidak berjaya, Manchester United yang menyedari peluang mereka pantas menghantar bidaan baharu berjumlah £65 juta (RM366.3 juta) yang boleh meningkat sehingga £73 juta (RM410 juta) jika semua kluasa diaktifkan.

Watkins disebut-sebut sebagai alternatif sekiranya Manchester United gagal mendapatkan Sesko. — Agensi

Penyerang berusia 22 tahun itu juga dilaporkan lebih tertarik untuk beraksi buat skuad The Red Devils musim depan meskipun pasukan itu tidak akan bersaing di pentas Eropah.

Tetapi, kata putus hanya boleh diberikan pihak pengurusan RB Leipzig untuk menerima tawaran tersebut atau sebaliknya dengan Manchester United masih menunggu jawapan.

Sekiranya bidaan itu ditolak, finalis Liga Europa UEFA (UEL) itu pasti akan mencari alternatif lain di pasaran dengan tonggak Aston Villa, Ollie Watkins antara nama pernah dipetik sebelum ini.

Manchester United sebelum ini difahamkan cukup tertarik dengan penyerang antarabangsa Sweden, Viktor Gyokeres untuk memperkuatkan barisan serangan, namun pemain tersebut memilih untuk menyertai Arsenal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram