[VIDEO] Perang mulut bintang Barcelona antara 3 momen hangat kunjungan kelab Eropah ke Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Fabregas (kiri) ketika bertegang urat dengan Wan Zack dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 2013.

KUNJUNGAN Manchester United ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei depan terus dinanti-nantikan penyokong yang tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan mereka dengan Asean All Star.

Meskipun masih tidak tahu siapakah pemain dari Asia Tenggara yang bakal beraksi, ramai mula berharap nama seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools serta Suphanat Muaenta dapat dipanggil Kim Sang-sik.

Ini kerana masing-masing teruja untuk menyaksikan bintang dari rantau ini berdepan bintang ternama, termasuk Bruno Fernandes dan Andre Onana yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana

BACA LAGI: Bruno Fernandes disuruh keluar Manchester United

Ribuan penonton dijangka hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi antara Manchester United dan Asean All Star.

Ramai juga berharap aksi persahabatan itu dapat menyajikan lambakan gol seperti pernah disaksikan pada tahun-tahun lalu apabila Malaysia XI menerima kunjungan kelab-kelab sekitar Eropah.

Bukan itu sahaja, perlawanan lalu pernah menyaksikan pelbagai momen menarik yang masih segar di ingatan ramai selain turut diperkatakan sehingga hari ini.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga hal sukar dilupakan ketika pasukan bertaraf antarabangsa hadir mengadakan aksi persahabatan dalam negara.

1. Fabregas, Wan Zack berperang mulut

Selain pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelab gergasi Sepanyol, Barcelona juga pernah hadir untuk menguji kebolehan pemain tempatan dalam aksi yang berlangsung pada 2013 di Stadium Shah Alam, Selangor.

Dalam perlawanan yang dihadiri kira-kira 80,000 penonton itu, skuad La Blaugrana tampil dengan beberapa pemain utama seperti Neymar dan Gerard Pique, namun tanpa kelibat Lionel Messi yang mengalami kecederaan.

Malaysia XI juga tidak kurang hebatnya apabila nama-nama besar, termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha turun beraksi, tetapi masih mengalami kekalahan 1-3.

Bagaimanapun, momen paling sukar dilupakan daripada perlawanan berkenaan adalah ketika Cesc Fabregas dan Wan Zack Haikal bertengkar mulut beberapa minit sebelum wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Kekecohan berlaku disebabkan rasa kurang senang pemain Barcelona itu terhadap penyerang sayap Harimau Malaya tersebut yang mengganggu percubaan ke arah pintu gol sehingga menyebabkan kecederaan.

Pertelingkahan antara kedua-dua pemain itu bagaimanapun dapat diredakan selepas campur tangan rakan sepasukan, termasuk Neymar dan Khairul Fahmi Che Mat yang bagaimanapun terus dikenang sehingga hari ini.

2. Jaringan deras Amri Yahyah menentang Man United

Kali terakhir skuad The Red Devils melakukan kunjungan ke tanah air adalah pada 2009 apabila mereka turut melawati beberapa negara lain sekitar Asia sebagai persiapan memasuki musim baharu.

Namun, peminat tempatan beruntung kerana dalam tempoh pramusim itu, Manchester United mengadakan dua perlawanan dengan salah satunya berakhir dengan keputusan 3-2.

Dalam perlawanan tersebut, gergasi EPL itu dibarisi bintang utama seperti Wayne Rooney dan Michael Owen yang membolehkan mereka meraih kelebihan untuk berada di depan 2-1 pada babak pertama.

Bagaimanapun, gol dijaringkan Malaysia XI menerusi Amri Yahyah pada masa kecederaan babak pertama amat memukau apabila dia melakukan percubaan deras yang di luar jangkaan ramai.

Jaringan jarak jauh itu gagal diselamatkan penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar yang tergamam dengan kebolehan penyerang Harimau Malaya berkenaan.

Meskipun akhirnya tewas dengan keputusan 2-3, percubaan deras Amri itu masih sukar dilupakan dengan gol sedemikian pasti diharapkan mampu dihasilkan mana-mana pemain Asean All Stars kelak.

3. Gol roket Azmi Muslim menentang Arsenal

Selain Manchester United, sebuah lagi kelab EPL iaitu Arsenal juga beberapa kali melakukan kunjungan ke tanah air untuk menilai kebolehan sebenar skuad kebangsaan.

Selepas mencatatkan kemenangan 4-0 pada 2009, skuad bimbingan Arsene Wenger itu sekali lagi hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil tiga tahun kemudian dengan pasukan terbaik diturunkan.

Bagaimanapun, kelab London itu sedikit tersentak ketika kunjungan kedua mereka apabila tuan rumah berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi gol menarik Azmi Muslim.

Percubaan dilakukannya pada masa kecederaan babak pertama gagal ditepis penjaga gol The Gunners, Vito Mannone yang terpaku melihat bola menerpa masuk ke dalam gawang.

Rembatan kaki kiri itu sememangnya menjadi titik terhangat perlawanan meskipun pada akhirnya, Malaysia XI mengalami kekalahan 1-2 setelah pihak lawan bangkit menerusi Thomas Eisfeld dan Chuks Aneke. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram