
PENYERANG antarabangsa England, Marcus Rashford terus berdepan kesukaran untuk menambat hati pengurus Manchester United, Ruben Amorim selepas dia sekali lagi dibenarkan meninggalkan kelab tersebut.
Dia yang dipinjamkan ke Aston Villa pada pertengahan musim 2024/25 difahamkan akan mengalami nasib sama pada jendela musim panas ini selepas dia hampir mengesahkan perpindahan ke gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona.
Perkhabaran tersebut dikongsikan pelbagai media Eropah, termasuk wartawan ternama, Fabrizio Romano yang menyatakan persetujuan sudah dicapai, namun tiada sebarang kontrak ditandatangani setakat ini.
BACA LAGI: '100 peratus mahu pulang', Rooney percaya Rashford teringin kembali beraksi bersama The Red Devils
BACA LAGI: Trio Elanga-Rashford-Welbeck lebih baik daripada penyerang sekarang — Legenda Man United
Media antarabangsa melaporkan Rashford semakin hampir untuk menyertai Barcelona secara pinjaman. — Facebook/Fabrizio Romano
Berdasarkan laporan terkini, Rashford akan menyertai Barcelona secara pinjaman dengan terdapat pilihan untuk pasukan kendalian Hansi Flick itu untuk mendapatkannya secara kekal atau tidak.
Perpindahan tersebut menerima respons baik daripada peminat kedua-dua pasukan kerana penyokong Manchester United gembira melihat bintang itu kekal di tahap terbaik sementara pengikut setia La Blaugrana teruja akan potensi pernah ditonjolkannya sebelum ini.
Malah, legenda England, Gary Lineker juga sempat menzahirkan kegembiraan di atas keputusan pemain berusia 26 tahun itu apabila dia pantas mengubah gambar profil Instagram peribadinya.
Foto tersebut memaparkan bekas penyerang tersebut berdiri di samping Rashford yang boleh ditafsirkan sebagai usahanya mengalu-alukan kehadiran pemain Manchester United itu ke Sepanyol.
Gambar profil Lineker di Instagram memberi gambaran bekas pemain England itu mengalu-alukan kehadiran Rashford ke Barcelona.
Ini kerana Lineker merupakan pemain England terakhir yang beraksi buat skuad La Blaugrana selepas menghabiskan tempoh tiga musim di kelab itu bermula pada 1986.
Sepanjang beraksi buat Barcelona, penyerang tersebut merekodkan 51 gol daripada 138 penampilan dengan Copa del Rey 1987/88 menjadi satu-satunya trofi diraihnya.
Meskipun rekod tersebut tidaklah begitu menakjubkan, ia masih diingati sehingga hari ini kerana tidak ramai pemain England memilih pasukan itu sebagai destinasi mereka.
Rashford sudah tentu teruja untuk mengikuti jejak langkah Lineker selepas penyerang tersebut diletakkan dalam senarai tidak diingini Amorim untuk musim depan.
Dia sebelum ini dilaporkan menolak peluang perpindahan ke Arab Saudi kerana lebih tertarik untuk terus kekal di Eropah dengan kelab Itali, Inter Milan turut dilaporkan berminat.
Namun, peluang menyertai Barcelona yang baru sahaja menjuarai La Liga dan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sudah tentu sukar ditolak bintang malap Manchester United itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram