
PEMERHATI bola sepak tempatan, Profesor Dr Zulakbal Abd Karim memuji usaha keras setiap kelab Liga Malaysia musim ini yang bertungkus lumus mengejar prestasi terbaik sehingga akhirnya berjaya untuk terus menarik kehadiran penyokong ke stadium.
Beliau sangat mengagumi prestasi pasukan-pasukan pada awal musim ini yang berjaya buat kejutan setiap perlawanan terutamanya kelab Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC yang semakin tunjuk taring selepas tiga perlawanan mereka setakat ini.
Bukan itu sahaja, Kelantan The Real Warriors FC juga yang dilihat bergelut pada awal musim tidak kurang hebatnya untuk kini menduduki tangga kelima liga selepas empat perlawanan.
BACA LAGI: Dibandingkan dengan JDT, pemain salam atas arahan CEO NSFC, MFL larang VIP turun padang
BACA LAGI: 'Habis duit kami', 1 Sabah mengamuk, Liga Super belum mula lagi MFL dah tukar jadual
Bahkan, Zulakbal tidak menolak jurang mata antara pasukan termasuklah Johor Darul Ta’zim (JDT) juga tidak terlalu jauh dengan lawan lain berbanding musim lalu yang cukup berbeza.
Situasi ini menunjukkan satu petanda positif yang cukup baik untuk Liga Malaysia sekaligus berjaya untuk kembali melihat stadium dibanjiri dengan kehadiran penyokong yang lebih ramai berbanding musim lepas.
Profesor Dr Zulakbal Abd Karim.
"Kita dapat lihat sejauh mana impak positif kepada pasukan apabila liga bertambah menarik dan dapat disaksikan sendiri rata-rata peminat yang akan setia turun ke stadium untuk berikan kemeriahan berganda berbanding musim lepas.
"Ini termasuklah perkembangan Kuching City dan Negeri Sembilan yang berjaya memainkan peranan terutamanya daripada pihak pengurusan mereka yang bijak menggunakan media sosial untuk lebih dekat dengan penyokong sekaligus menarik mereka untuk datang sokong di stadium," katanya.
Dalam masa sama, Zulakbal mengharapkan prestasi sebegini tidak terhenti sampai di situ sahaja sebaliknya kelab-kelab perlu menjadikan ini satu petanda aras untuk mengekalkan aksi yang lebih hebat dalam perlawanan akan datang.
Bukan itu sahaja, penyokong juga main peranan yang cukup tinggi dan beliau menggesa agar mereka dapat terus memeriahkan lagi stadium dengan hadir setiap perlawanan tidak kira jatuh atau bangun sesebuah pasukan itu.
Tangkap layar kedudukan terkini Liga Super.
"Masih terlalu awal untuk saya katakan saingan liga secara menyeluruh tapi dah ada banyak petanda positif sebenarnya daripada prestasi kelab-kelab lain.
"Kalau sebelum ini biasa kita nampak Selangor saja yang nak cabar JDT, tapi sekarang kelab lain dah mula tunjuk taring dan ini adalah satu kemajuan yang bagus kita dapat tengok untuk Liga Malaysia.
"Dengan jurang yang semakin mengecil juga sudah tentu akan terus dapat bagi debaran kepada peminat-peminat dan saya harap sokongan seperti ini akan berterusan untuk mereka konsisten hadir ke stadium," jelasnya.
Ketika ini JDT di takhta Liga Super dengan 12 mata hanya dibezakan dua mata dengan Kuala Lumpur City FC yang kini di tangga kedua diikuti Terengganu FC di kedudukan ketiga selepas empat perlawanan.
Aksi Liga Super (LS5) akan kembali bersambung pada 19 September dengan lapan aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA akan berlangsung terlebih dahulu pada minggu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram