[VIDEO] 'Liga DUN je pun', pengadil jadi mangsa lemparan mercun penyokong di Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 11 Sep 2025

Pengadil (berjersi biru) dan pemain Paya Datu FC (berjersi kuning) berlari menyelamatkan diri daripada baling mercun oleh penonton.

WALAUPUN bola sepak profesional di negara kita terhenti seketika untuk memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan, namun perlawanan di peringkat bawahan masih dijalankan.

Akan tetapi, ia tetap hadir dengan kontroversi dengan satu detik mengejutkan berlaku semasa saingan Piala YB ADUN Buluh Gading di Terengganu.

Dalam perlawanan melibatkan Tanjung Sabtu FC dengan Paya Datu FC, penyokong yang hadir ke stadium bertindak luar kawalan hingga membahayakan keselamatan pengadil.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bangkit Shafiq Afifi!' Kiper Terengganu pernah buktikan cedera ketika beraksi bukan penamat karier

BACA LAGI: Piala Agong 2025: Terengganu mula langkah kanan, benam WP Kuala Lumpur di laman sendiri

Dalam rakaman yang dikongsi oleh Terengganu11 di Facebook, perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Rabu menyaksikan perlawanan akhir melibatkan kedua-dua pasukan bertukar menjadi tegang pada penghujung babak permainan.

Dalam rakaman tersebut, pemain Paya Datu yang berjersi kuning dilihat terbaring di tepi bendera sepakan penjuru berdekatan dengan penyokong Tanjung Sabtu.

Barang kali dianggap cuba untuk membuang masa, penyokong Tanjung Sabtu berdekatan mula memberikan provokasi dan bertindak luar kawalan hingga mencampak mercun.

Mercun itu dicampak ke arah sekumpulan pengadil yang sedang melihat keadaan pemain tersebut, namun apabila mereka menyedarinya, semua terus berlari menyelamatkan diri.

Dilaporkan perlawanan tersebut ditamatkan selepas insiden tersebut dengan Paya Datu dinobatkan sebagai juara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram