Piala FA: Bangkitnya NSFC, kelab Kelantan hidupkan kenangan pertembungan epik 2010


  • Podium
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Pertemuan antara Negeri Sembilan dan Kelantan di pentas akhir Piala Malaysia 2010 masih segar di ingatan.

KENANGAN menonton pertembungan Kelantan dan Negeri Sembilan di pentas akhir Piala Malaysia 2010 masih mekar di ingatan peminat bola sepak tegar, khususnya dari kedua-dua negeri itu.

Meskipun keputusan tidaklah berpihak kepada skuad Rusa, ia masih boleh diangkat sebagai kenangan manis buat saya sendiri sebagai penyokong di negeri beradat itu yang pasti sukar mengulangi momen sedemikian.

Sebagai penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu lebih 10 tahun lalu, gol menerusi sepakan penalti Shahurain Abu Samah menyajikan satu kenangan abadi dalam diri.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak mustahil berulang, 3 kelab 'underdog' pernah cipta kejutan di pentas awal Piala FA

BACA LAGI: Semifinalis Piala FA: Akmal Rizal tak rasa ada kejutan awal

Pertembungan epik antara skuad Jang dan JDT menghidupkan semula semangat peminat untuk hadir ke stadium. Facebook/Negeri Sembilan FC

Gegak-gempita yang masih segar di halwa telinga sememangnya harap diulangi walaupun diri kecil ini tahu, Negeri Sembilan FC sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding kelab lain.

Tetapi, perasaan itu entah tiba-tiba kembali hadir dalam diri selepas bertahun-tahun tidak bersemangat untuk turun ke stadium kerana tahu status skuad Rusa yang hanyalah pasukan belasahan.

Tiga gol dihasilkan ketika bertandang ke Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari menceritakan kemeriahan sudah kembali ke negeri beradat ini walaupun perlawanan itu hanya disaksikan menerusi kaca televisyen.

Ini semua hasil titik peluh Nidzam Jamil dan anak-anak buahnya yang enggan mengenali erti penat lelah walaupun tahu Stadium Sultan Ibrahim itu ibarat kubu kebal Harimau Selatan.

Keputusan 3-5 itu sekali gus menyuntik semangat untuk diri ini kembali ke Stadium Paroi selepas entah berapa tahun tidak menjejak stadium itu selepas bertahun-tahun disajikan kekecewaan.

Kelebihan lima gol diraih skuad Jang selepas menumpaskan PDRM FC dalam pertembungan pertama. Facebook/Negeri Sembilan FC

Tetapi, tepatlah keputusan untuk hadir menonton perlawanan melibatkan skuad Rusa dan PDRM FC pada Isnin kerana kemeriahan dan keceriaan sekali lagi kedengaran.

Magis Jovan Motika, strategi rapi digunakan Nidzam Jamil dan beberapa kontroversi pengadilan membuatkan setiap sen dikeluarkan berbaloi walaupun tahu Negeri Sembilan perlu bertandang ke Stadium Selayang, Selangor untuk aksi timbal balik.

Namun, bekalan lima gol tanpa balas itu meletakkan skuad Rusa sebelah kaki ke pusingan suku akhir dengan pasukan lain turut kelihatan cukup bersemangat pada edisi kali ini.

Tetapi, terkejut pula rasanya apabila mendapati Kelantan The Real Warriors (TRW) FC juga berpeluang cerah untuk mara selepas mengejutkan Kuala Lumpur (KL) City di laman sendiri.

Skuad kendalian E Elavarasan meraih kemenangan mengejut ke atas KL City FC di laman sendiri. Facebook/Kelantan WTS

Dua gol Ifedayo Olusegun dan satu daripada Sean Selvaraj meletakkan mereka di posisi selesa walaupun kita sendiri tahu, skuad Warga Kota adalah pakar dalam pertandingan berformat kalah mati.

Walaupun tahu zaman kegemilangan bola sepak Kelantan masih jauh untuk disaksikan, apalah salahnya buat peminat untuk berangan, lebih-lebih lagi dengan kembalinya Tan Sri Annuar Musa dalam tampuk pengurusan.

Jadi, tidak salah rasanya jika kita mengharapkan kedua-dua finalis Piala Malaysia 2010 itu kembali bertembung di separuh akhir walaupun jalan berliku menanti.

Kita juga tahu, adanya Kelantan Red Warriors (KRW) FC dan Kelantan Wan Tendong Stable (WTS) dalam Liga A1 Semi Pro menunjukkan arena bola sepak di negeri itu sudah kembali ke landasan.

Tetapi, harapnya tiada lagi isu kewangan dan tunggakan gaji membelenggu kerana kita bercita-cita besar menyaksikan zaman kegemilangan di Pantai Timur seperti mana pernah kita saksikan. — Majoriti

 

Arif Rahim merupakan peminat tegar Negeri Sembilan yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram