Bekalan selesa 5 gol, tak salah Nidzam Jamil turunkan 3 senjata 'terpendam'


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Khuzaimi dijangka akan diturunkan dalam perlawanan menentang PDRM pada Jumaat. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) di awal musim ini antara pasukan yang memberi banyak kejutan apabila menjadi pasukan pertama membolosi gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Iskandar Puteri, Johor dengan tiga gol. 

Walaupun tewas 3-5, skuad Jang masih menerima banyak pujian daripada penyokong bola sepak domestik susulan cara permainan mereka yang berani melakukan serangan bertali arus ke kem Harimau Selatan.

Bukan hanya cemerlang di saingan Liga Super dengan meraih satu menang, satu seri dan satu kekalahan tetapi skuad kendalian Nidzam Jamil itu juga menjadi pencabar hebat dalam saingan Piala FA. 

BACA LAGI: Cuma dibezakan 2 mata, bukan Selangor saja boleh cabar juara bertahan Liga Super, lagi-lagi TRW

BACA LAGI: Terengganu FC kaku seperti ternampak hantu hingga bolos lima kali

Negeri Sembilan merekodkan kemenangan besar 5-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC dalam aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 18 Ogos lalu. 

Kelebihan lima gol itu jelas memberi keselesaan buat Negeri Sembilan menjelang aksi kedua mereka menentang skuad Sang Saka Biru di di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang, Selangor pada Jumaat. 

Dengan kelebihan jaringan berkenaan, Nidzam boleh membuat pertukaran pemain pada aksi kedua dengan memberi peluang kepada beberapa pemain yang masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad Jang. 

1) Khuzaimi Piee 

Khuzaimi menyertai semula NSFC pada awal musim ini. — Facebook/NSFC

Kehadiran semula bekas pemain kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee ke NSFC diyakini mampu memberi impak positif kepada kekuatan pasukan itu khususnya di posisi pertahanan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Reputasi sebagai bek kental Harimau Malaya sudah pasti bakal ditagih skuad Hobin Jang Hobin dalam misi besar untuk membawa perubahan terhadap pencapaian pasukan itu pada saingan Liga M musim ini. 

Bagaimanapun, setakat tiga perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA diharungi, Khuzaimi masih belum tampil dalam sebarang perlawanan rentetan isu kecederaan dialaminya.

Bek berusia 31 tahun berkenaan dijangka sudah kembali pulih dan pastinya Nidzam juga tidak sabar untuk menggunakan khidmat Khuzaimi di bahagian belakang dan sebagai ketua pasukan Negeri Sembilan.

Pengalaman luas dan ketenangan yang dimiliki Khuzaimi atau mesra dengan panggilan Jimmy itu masih sangat berharga di posisi pertahanan, sangat sayang jika tidak digunakan sebaiknya oleh Nidzam. 

2) Luqman Hakim Shamsudin

Luqman Hakim masih belum merekodkan sebarang penampilan bersama NSFC. — Facebook/NSFC

Perlawanan menentang PDRM pada esok mungkin juga akan menjadi aksi pertama penyokong bola sepak tanah air akhirnya melihat kembali penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin beraksi di pentas domestik.

Akibat kecederaan yang dialami, penyerang muda kelahiran Kota Bharu yang berkelana di luar negara sebelum ini masa lagi belum melakukan debut secara rasmi bersama Negeri Sembilan FC.

Setelah lima tahun merantau di pentas bola sepak antarabangsa bersama kelab KV Kortrijk (Belgium), Njardvik (Iceland), dan Yokohama SCC (Jepun), penyerang muda sensasi negara itu diramal kembali dengan semangat serta kematangan lebih tinggi.

Di bawah kendalian Nidzam, bekas tonggak skuad Bawah 23 (B-23) itu diyakini mampu menyuntik nafas baharu dalam pasukan selain membangkitkan semula keghairahan penyokong tempatan terhadap keupayaannya di atas padang.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu pernah muncul penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 pada 2018 serta disenaraikan antara 60 bakat muda terbaik dunia oleh portal terkemuka United Kingdom, The Guardian.

3)  Filip Andersen 

Andersen direkrut pada jendela perpindahan Ogos lepas. — Facebook/NSFC

Berbeza dengan kes Khuzaimi dan Luqman Hakim, Filip Andersen tiba lambat di kem Negeri Sembilan apabila namanya diumumkan ketika tarikh akhir jendela perpindahan dengan direkrut bagi memperkukuh skuad bagi aksi Liga Super musim ini. 

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Denmark tersebut sah menyertai Negeri Sembilan dengan kontrak jangka panjang sekali gus menjadi import terbaharu pasukan kendalian Nidzam Jamil.

Andersen yang pernah mewakili skuad B-16 dan B-19 Denmark, kini sedang bersama Mongolia pada Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand selepas sempat menjalani latihan awal bersama NSFC.

Pertahanan muda skuad kebangsaan Mongolia berkenaan dijangka bergandingan dengan Luis Enrique Nsue, Zainal Abidin Jamil dan Harith Samsuri bagi memperkukuh benteng Negeri Sembilan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram