Cincin tunang RM18.6 juta Georgina hanya 'celah gigi' gaji sehari Ronaldo di Al-Nassr


  • Podium
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Nilai cincin pertunangan Georgina itu mencecah antara RM9.3 juta – RM18.6 juta.

BINTANG bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya menjalin ikatan yang lebih serius apabila dilaporkan sudah melamar kekasihnya iaitu Georgina Rodriguez selepas sembilan tahun bersama.

Pertunangan pasangan berkenaan diumumkan oleh Georgina di laman media sosial apabila model dan usawahan itu memuat naik sekeping foto tangannya bersama cincin yang diberikan bintang Al-Nassr tersebut.

Menariknya, cincin yang disarungkan di jari manis Georgina itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet lagi-lagi mengenai nilainya berikutan kilauan pada barang kemas tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan legenda bola sepak, bintang berambut ‘Pekan Ronaldo’ ajak bergaduh sebaliknya cuma YouTuber terkenal

BACA LAGI: Makin dalami dunia bola sepak lokal, Cklamovski hantar anak sertai skuad belia kelab Lembah Klang

Sehingga kini, misteri masih menyelubungi di mana dan bagaimana Ronaldo mendapatkan cincin berlian mewahnya, namun pakar barang kemas tampil berkongsi anggaran nilainya yang mencecah puluhan juta ringgit.

Memetik laporan The Cut, pakar barang kemas ternama, Maggi Simpkins menganggarkan nilai cincin pertunangan Georgina itu mencecah antara AS$2 juta hingga AS$4 juta (RM9.3 juta – RM18.6 juta).

Simpkins, yang pernah menghasilkan cincin bernilai jutaan dolar percaya berlian potongan bujur itu mempunyai berat antara 25 hingga 30 karat, jauh lebih besar berbanding cincin pertunangan biasa yang lazimnya hanya satu hingga dua karat.

Menurutnya, harga sebenar sukar ditentukan kerana bergantung kepada kualiti batu permata, malah anggaran tersebut belum mengambil kira dua batu berlian kecil yang mengapit berlian utama bersaiz gergasi itu.

Meskipun nilainya mencecah RM19 juta, sesetengah warganet melihat harga cincin itu tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan pendapatan diperoleh Ronaldo di kelab gergasi Arab Saudi iaitu Al-Nassr.

 

 

Pada Jun lepas, pemain berusia 40 tahun itu menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai 492 juta pound (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun.

Bekas bintang Manchester United berkenaan akan kekal bersama Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi, dengan difahamkan Ronaldo akan menerima gaji asas mencecah 488,000 pound (RM2.83 juta) sehari.

Bekas penyerang Real Madrid itu juga turut ditawarkan kemewahan lain untuk menjadi duta bagi kelab Arab Saudi itu dan pendapatannya mampu mencecah hingga RM3 bilion untuk dua tahun akan datang.

Bagaimanapun, nilai cincin tersebut bukan ukuran berikutan Ronaldo tampak sudah menjadi ayah yang baik dan kehidupan lebih daripada cukup kepada Georgina dan lima anak mereka.

Ronaldo akan kekal bersama Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi, dengan gaji asas mencecah 488,000 pound (RM2.83 juta) sehari. — Agensi

Pasangan itu mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Alana, 7, dan Bella, 3, manakala abang kembar Bella, Angel, meninggal dunia ketika dilahirkan.

Georgina juga membantu membesarkan tiga lagi anak Ronaldo iaitu Cristiano Jr, 15, serta pasangan kembar Mateo dan Eva Maria, masing-masing berusia lapan tahun.

Pasangan sensasi yang pertama kali bertemu di butik Gucci pada 2017 itu menerima ucapan tahniah daripada ramai selebriti di Instagram termasuk Jana Craig, Piers Morgan dan Bebe Rexha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram