SATU persatu pemain yang beraksi di saingan liga Eropah dicanang mempunyai darah dengan Malaysia tampil mendedahkan kebenaran, sekali gus memadam impian penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan pemain gred A mewakili skuad kebangsaan.
Selepas kapten skuad Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan England, Josh Brownhill menjelaskan dirinya hanya berbangsa Inggeris, terbaharu kebenaran mengenai pemain skuad muda PSV Eindhoven iaitu Iggy Houben pula didedahkan.
Menerusi laman penyokong skuad kebangsaan, Harimau Abroad berkongsi tangkap layar media sosial yang difahamkan kepunyaan ibu Iggy mendedahkan bahawa keluarganya tidak mempunyai langsung pertalian darah dengan Malaysia.
BACA LAGI: Lupakan Josh Brownhill, 3 warisan gred B termasuk 'keeper' muda JDT layak jadi pilihan Cklamovski
BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya
"Malaysia? Keluarga kami seratus peratus Limburg (wilayah di selatan Belanda)," katanya menerusi Facebook miliknya.
Pendedahan dari Marielle Houben itu memadam impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan kehadiran pemain muda dari pasukan PSV Eindhoven itu menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebelum ini, pemain berusia 20 tahun itu mengesahkan bahawa neneknya berasal dari Titiwangsa, Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang untuk Houben beraksi untuk Malaysia.
Tangkap layar hantaran dari Harimau Abroad.
"Ini adalah peluang yang menarik dan saya amat gembira. Pertalian darah Malaysia melalui nenek yang berasal dari Titiwangsa.
"Saya ingin berterima kasih kepada yang bertanyakan soalan. Saya sangat hargainya. Malaysia boleh," katanya dalam satu sesi soal jawab bersama ejen pencari bakat, Frfuturetalents pada September lepas.
Penafian dari ibu Iggy itu menjadikan 'ubi muda' berkenaan merupakan pemain ketiga yang menjawab dakwaan mempunyai darah Malaysia selepas Brownhill dan tonggak tengah Newcastle United, Isaac Hayden.
Pada 21 Disember lepas, Hayden yang pernah menyarung jersi skuad muda England berharap agar khabar angin seperti dakwaan dia merupakan tonggak warisan tanah air dapat dihentikan dan tidak perlu disebutkan lagi di masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram