
DALAM dunia bola sepak tempatan, nama-nama seperti Arif Aiman kini sering meniti di bibir penyokong sebagai ikon generasi baharu sukan itu.
Namun, sebelum bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut meledak, Liga Malaysia pernah menyaksikan kelahiran pemain-pemain muda yang diberi gelaran gah, malah dibandingkan dengan ikon dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Malangnya, setelah beberapa musim, tiga pemain berkenaan kini seolah-olah semakin tenggelam dan hilang dari radar utama bola sepak tanah air.
BACA LAGI: VI buru kejuaraan ke-3, tetap waspada ancaman wakil Pulau Pinang
BACA LAGI: SSR 2025: Fizikal, pengalaman VI tak gentarkan MRSM Balik Pulau
Berikut adalah sorotan terhadap tiga bintang yang pernah digelar lebih hebat dari Arif Aiman:
1. Farhan Roslan – Messi Kedah
Pernah mencuri tumpuan pada usia muda, Farhan Roslan dianggap sebagai permata bola sepak Kedah apabila tampil bersama skuad Hijau Kuning sekitar 2014.
Keupayaannya dalam menggelecek, kawalan bola ketat, serta kelincahan di bahagian serangan membuatkan peminat memberi gelaran 'Messi Kedah'.
Farhan mencatat kejayaan awal yang cukup mengagumkan, termasuk menjuarai Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan 2019, serta Piala Sumbangsih 2017 bersama Kedah. Dia juga pernah diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik Malaysia 2014.
Bersama skuad Sang Badak, Farhan gagal menyerlah sepenuhnya dan lebih banyak bermula dari bangku simpanan. — Sabah FC
Namun, prestasinya mula merudum akibat kecederaan berulang dan masalah konsistensi yang menjejaskan peluangnya untuk kekal sebagai tonggak utama.
Selepas dipinjamkan ke Perak FC pada 2021, pemain sayap kiri itu menandatangani kontrak tiga tahun bersama Kelantan FC pada 2022 dalam usaha menghidupkan semula kariernya dan kemudiannya menyertai Sabah FC menerusi saingan Liga Super.
Sayangnya, bersama skuad Sang Badak, Farhan gagal menyerlah sepenuhnya dan lebih banyak bermula dari bangku simpanan.
Sepanjang musim lalu, pemain berusia 28 tahun itu hanya merekodkan dua gol dan empat bantuan jaringan (assist) dalam 18 penampilan, satu statistik yang menunjukkan sumbangan sederhana bagi seorang pemain yang pernah disandarkan harapan tinggi.
2. Faiz Nasir – Messi Terengganu
Memiliki fizikal kecil seperti Messi dan kemahiran teknikal yang tinggi, Faiz Nasir pantas melonjak sebagai pemain yang mengujakan sewaktu bersama Terengganu FC.
Kelincahannya di bahagian sayap dan keupayaan menjaringkan gol luar kotak penalti membuatkan dia popular dengan jolokan nama 'Messi Terengganu'.
Faiz yang pernah dianggap sebagai permata bola sepak Kedah diibaratkan seperti 'turun' pangkat apabila menyertai Kelantan RW. — Kelantan RW
Faiz membantu Terengganu muncul naib juara Piala FA 2018 dan Liga Super 2022, serta mencatat 68 penampilan bersama kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Faiz juga pernah mencuri perhatian ketika menjaringkan gol cantik dalam perlawanan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya ketika menentang Afghanistan pada 2019.
Namun, kebelakangan ini, namanya semakin jarang disebut dalam kalangan penyokong, malah seakan-akan ‘diturunkan pangkat’ apabila diumumkan menyertai pasukan Kelantan Red Warriors (Kelantan RW) untuk saingan Liga A1 musim hadapan.
Keputusan menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi kempen lalu juga tidak membawa sebarang impak, malah memburukkan lagi keadaan apabila dia tidak menjadi komponen penting di bawah kendalian Nafuzi Zain.
3. Rozaimi Abdul Rahman – Neymar Malaysia
Nama Rozaimi pernah menjadi kegilaan penyokong bola sepak negara apabila dia menampilkan aksi cemerlang bersama-sama skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia dan berjaya menghasilkan 19 gol daripada 22 penampilan.
Bakat semula jadinya, kelajuan dan kemampuan menjaringkan gol dari pelbagai sudut melayakkan dia diberi gelaran Neymar Malaysia memandangkan ketika itu pemain Brazil tersebut juga sedang mencipa nama dia Amerika Selatan dan Eropah.
Namun, kemalangan jalan raya pada 2015 menjadi titik gelap dalam kariernya. Walaupun berjaya kembali ke padang selepas itu, Rozaimi tidak pernah benar-benar bangkit seperti dahulu.
Kemalangan jalan raya pada 2015 menjadi titik gelap dalam karier Rozaimi Rahman. — Sabah FC
Untuk rekod, Rozaimi pernah dipinjamkan ke Selangor FA dan Harimau Muda A, selain menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad Sang Kenari dan kemudiannya menyertai Sabah FC bawah 23 tahun.
Terbaru, berdasarkan data Transfermarkt, Rozaimi tidak terikat dengan mana-mana kelab profesional, menjadikan statusnya kini sebagai pemain bebas.
Kesimpulannya, tiga nama ini membuktikan bahawa gelaran hebat tidak semestinya menjamin kejayaan berpanjangan dalam dunia bola sepak.
Faktor kecederaan, tekanan dan konsistensi menjadi cabaran besar kepada pemain muda walaupun mereka bermula dengan penuh sensasi.
Berbanding Arif Aiman yang terus mengekalkan prestasi di pentas tertinggi, kisah Farhan, Faiz dan Rozaimi wajar dijadikan iktibar bahawa bakat sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin, kesihatan fizikal dan mental yang mantap dalam mengejar impian di peringkat tertinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram