KETUA pasukan Burnley, Josh Brownhill menolak khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kewarganegaraan Malaysia, sambil menegaskan bahawa dia merupakan warganegara England.
Menerusi kenyataan di Instagram, pemain tengah berusia 29 tahun itu menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai hubungan dengan Malaysia, walaupun terdapat spekulasi mengenainya sejak beberapa hari lalu.
"Sekadar mahu menangani situasi mengenai beberapa khabar angin yang tersebar. Malangnya satu-satunya kewarganegaraan saya ialah England, dan saya bukan rakyat Malaysia seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang.
“Saya tidak pasti bagaimana semua khabar ini bermula, tetapi saya perlu buat penjelasan, bagaimanapun saya ucapkan terima kasih terhadap sokongan semua pihak, terima kasih,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Instagram pada Ahad.
BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya
Penjelasan dari Brownhill itu sekali gus memadam impian penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan pemain warisan gred A yang beraksi di liga Eropah menyarung jersi skuad kebangsaan.
Jika ingin terus menyaksikan pemain warisan membantu Malaysia, adalah lebih baik jika memberi peluang itu kepada tonggak yang sedang beraksi di Liga Super namun sehingga kini tidak berkesempatan mendapat kaps bersama Harimau Malaya.
Di bawah kendalian Peter Cklamovski, berikut tiga nama pemain warisan yang sedang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) wajar mendapat tempat bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun depan.
1) Hong Wan
Hong Wan (kanan) boleh membantu bahagian tengah Harimau Malaya. — Facebook/JDT
Perasan atau tidak, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hong Wan sudah lama tidak kelihatan beraksi di saingan domestik mahupun membantu Harimau Selatan dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Ketiadaan pemain tengah, Hong Wan menjadi misteri dalam kalangan penyokong JDT yang sudah lama tidak menyaksikan dia beraksi dengan kali terakhir keberadaan pemain 24 tahun itu diturunkan pada September lalu.
Sekalipun Hong Wan kini sedang bergelut dengan isu kecederaan namun ia bukan alasan untuk mengabaikan bekas pemain junior kelab Liga Inggeris, Wolverhampton itu dalam senarai berpotensi mendapatkan kaps bersama Malaysia.
Selain memiliki kemahiran melakukan hantaran berkualiti tinggi, larian bertenaga pemain itu juga sering kali menjadi tulang belakang kepada dominasi JDT di bahagian tengah ketika perlawanan.
Hong Wan sebelum ini pernah dipanggil ke kem kebangsaan untuk aksi persahabatan pada 2023 namun terpaksa dipinggirkan akibat masalah kecederaan dihadapi.
2) Ryan Lambert
Tidak seperti kembarnya iaitu Declan Lambert, Ryan Lambert masih belum mendapat peluang untuk mempunyai karier antarabangsa walaupun dia merupakan tonggak penting Kuala Lumpur (KL) City FC sejak 2021.
Pada tahun pertamanya bersama skuad Warga Kota, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia 2021 setelah pasukan itu tampil bergaya dalam final ketika menumpaskan Harimau Selatan.
Ryan yang kini merupakan pemain pinjaman dari JDT masih kekal sebagai tonggak utama pasukan bimbingan Miroslav Kuljanac dan pemain tengah itu sudah merekodkan 17 aksi bersama KL City pada musim ini.
Kebolehan dan kemampuan pemain tengah itu pastinya memberi kemampuan yang diperlukan untuk skuad Cklamovski apabila dia sering melakukan hantaran yang berjaya mengelirukan benteng pertahanan lawan.
3) Christian Abad
Christian merupakan rekrut JDT pada Ogos lepas. — Facebook/JDT
Penjaga gol muda Harimau Selatan, Christian Abad difahamkan memiliki kerakyatan Malaysia, sekali gus membolehkan pemain berkenaan untuk menyarung jersi kebangsaan.
Christian mungkin masih baharu dengan saingan domestik kerana baru tiba di tanah air pada Ogos lepas namun pemain itu bakal menjadi pelaburan jangka masa panjang kerana usianya yang muda iaitu baru memasuki 18 tahun.
Dari segi pengalaman beraksi di peringkat kelab, Christian pernah menyertai Akademi Valencia pada usia 10 tahun dan kekal menjadi sebahagian daripada kelab hingga usianya mencecah 15 tahun sebelum dipinjamkan ke CD Alcoyano.
Bukan itu sahaja, Christian pernah beraksi selama dua musim di skuad muda Elche CF dan penjaga gol berketinggian 1.83 meter itu diberi kepercayaan untuk beraksi dalam 22 daripada 29 perlawanan pada musim 2023.
Bersama Harimau Selatan pula, penjaga gol itu banyak beraksi untuk skuad Piala MFL dan pernah diberikan peluang untuk beraksi dalam dua aksi Piala Malaysia 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram