Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Irfan Bakti merupakan pilihan KRW yang akan memulakan kempen pertama mereka dalam liga bawahan musim depan.

KEMASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) dan Perak – dua pasukan yang gagal mendapat lesen bersaing dalam musim baru Liga Super – dianggap sebagai tonik tambahan yang mampu melonjakkan Liga A1 Semi-Pro di sebalik prestij kedua-duanya yang berbeza-beza.

Mengalu-alukan kemasukan dua bekas kelab Liga Super itu, Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW), Irfan Bakti Abu Salim, bagaimanapun membayangkan pasukan baru yang dikemudinya itu bakal menjadi halangan utama buat pasukan-pasukan pesaing yang mengintai kenaikan pangkat ke Liga Super 2026/2027.

Kuota 15 pemain import bagi pasukan-pasukan Liga Super 2025/2026 dilihatnya sebagai memungkinkan ketidakseimbangan daripada segi saingan – pasukan-pasukan kaya yang mampu mendapatkan seramai mungkin tenaga import berkualiti akan terus mendominasi manakala pasukan yang berhadapan kekangan bajet pula mungkin akan lebih jauh tertinggal.

BACA LAGI: Kewajaran MFL tetapkan kuota 15 tenaga import timbulkan persoalan

BACA LAGI: Kuota 15 import: Ejen paling gembira boleh buat duit tapi pasukan berisiko membazir

Mempunyai pro dan kontranya bagi setiap pasukan menurunkan tujuh pemain import pada satu-satu masa, kuota baru itu juga dilihatnya boleh meluaskan jurang kualiti antara pasukan-pasukan dalam Liga Super – pasukan kayangan akan mampu menurunkan import terbaik sambil lawan mereka pula akan terpaksa berpuas hati sekadar mencukupkan bilangan dalam kesebelasan permulaan.

Lantas, pada jangkaan Irfan Bakti, saingan pasukan-pasukan dalam Liga A1 akan lebih seimbang untuk memberi nilai tontonan lebih memuaskan buat penonton yang hadir ke stadium kerana setiap pasukan terhad kepada hanya tiga pemain import.

“Cuma Liga A1 tidak dapat menandingi Liga Super daripada segi prestij, siaran langsung televisyen dan liputan meluas media tapi ia bukan halangan buat pasukan-pasukan menyematkan cita-cita untuk layak ke Liga Super,” katanya.

Bagi Liga A1 2024/2025, Melaka FC kendalian K. Devan dan Imigresen FC dikemudi Mat Zan Mat Aris berkesudahan selaku juara dan naib juara dalam saingan 15 pasukan itu untuk layak ke Liga Super 2025/2026, dituruti oleh Kuala Lumpur Rovers dan PT Athletic yang menempah tempat ke aksi Piala Malaysia 2025/2026.

Melaka FC dan Imigresen FC sudah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super. — Facebook/Hotice

Terbaru, Liga Bolasepak Amatur (AFL) selaku pengelola Liga A1 mengesahkan sudah menerima permohonan KDA FC dan Perak FA, dengan kedua-duanya diminta mengemukakan dokumen tambahan sebelum penyertaan masing-masing dimuktamadkan pada awal Jun.

“Kita terbuka menerima mana-mana pasukan dari Liga Super yang tidak berjaya menerima lesen kebangsaan untuk bermain dalam Liga A1, sebelum ini kita pernah memproses dan meluluskan permohonan Sarawak United dan dibenarkan bermain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.

Presiden AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pula berkata kedua-dua pasukan itu juga wajib memenuhi kriteria asas termasuk memiliki sekurang-kurangnya 20 pemain berdaftar manakala isu tunggakan gaji melibatkan kedua-duanya tidak menjadi penghalang asalkan komitmen kewangan dapat dipenuhi.

“Liga A1 ini (bertaraf) semi-pro, jadi bajetnya lebih rendah. Dengan RM3 juta hingga RM4 juta pun sudah cukup kerana kita mahu kelab-kelab bangkit secara berstruktur, bukan sekadar bertahan. Liga A1 adalah platform terbaik untuk itu,” katanya.

Presiden AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

KDA FC dalam kenyataan terbarunya pada Sabtu memaklumkan permohonannya untuk menyertai Liga A1 diambil sebagai cara membangunkan pasukan yang lebih stabil, tersusun dan telus.

"Kelab akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro. Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kelab untuk memastikan kelangsungan dan daya saing KDA FC dalam arena bola sepak negara," tulisnya.

Sambil itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, sudah mengadakan siri pertemuan strategik untuk membincangkan hala tuju, kelayakan penyertaan dan syarat-syarat penyertaan dalam Liga A1.

"Fokus utama kini ialah membentuk satu pasukan yang berdaya saing melalui skuad SUKMA Perak yang bakal menjadi tunjang kebangkitan semula bola sepak Perak di pentas tempatan,” katanya.

Dalam pada mengalu-alukan KDA dan Perak, Irfan Bakti melaungkan amaran bahawa KRW yang masih dalam proses pembentukan pasukan dengan gandingan pemain berpengalaman dalam Liga Super dan tenaga muda sesuai dengan bajet pasukan, mahu memanfaatkan Liga A1 2025/2026 bermula Julai ini untuk meraih tiket segera ke Liga Super.

Kelantan Red Warrior bakal beraksi dalam Liga A1 pada musim baharu nanti.

“Daripada pengalaman saya, baik ketika bersama Felda United, Terengganu mahupun Telekom, pasukan-pasukan bimbingan saya ini dapat naik (ke liga teratas) selepas hanya satu musim. Saya meletakkan sasaran yang sama bersama Kelantan Red Warriors,” katanya.

Selepas lima ujian pemilihan dijalankan setakat ini – di daerah-daerah di Kelantan dan satu sesi di Petaling Jaya – sejumlah 15 pemain sudah dipilih termasuk mengenal pasti seorang pemain import untuk mengisi tiga kuota yang dibenarkan. Dua lagi akan didatangkan kemudian.

“Kita tidak jangkakan masalah untuk melengkapkan senarai 25 pemain untuk pasukan. Lagipun, sekarang ini ada ramai pemain tempatan yang tak punya pasukan.

 

“Kita boleh ambil mereka, cuma pemain-pemain ini perlu lalui saringan ketat kerana kita tidak akan pilih sembarangan,” kata Irfan Bakti yang akan berpindah ke Kota Bharu untuk sesi latihan bermula 16 Jun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram