
SAINGAN Liga A1 Semi Pro 2025/26 diteruskan dengan kemeriahan apabila kesemua lima perlawanan yang berlangsung sepanjang hujung minggu lalu menyajikan aksi mendebarkan.
Gol pantas daripada import Perak FA, Christian Okwudiri serta kepulangan Kelantan Red Warriors (KRW) FC selepas dua aksi awal tertangguh merupakan antara drama utama yang disaksikan.
Tetapi, apa yang rata-rata pastinya terlepas pandang adalah aksi yang melibatkan dua pasukan Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Imigresen FC II yang berlangsung di Stadium Mini MPKP, Jitra pada Sabtu lalu.
BACA LAGI: Tambahan kuota pemain lokal, YCL kena bijak bentuk Imigresen FC dalam tempoh singkat
Perlawanan itu sepatutnya menjadi medan kebangkitan buat skuad Sang Kenari setelah mengalami kekalahan dalam aksi sebelumnya di tangan Bunga Raya FC.
Bagaimanapun, kualiti pasukan pelawat yang dibarisi pemain lebih berpengalaman jelas membuatkan KDA FC gagal menampilkan aksi terbaik sehingga mengalami kekalahan 0-3.
Meskipun tiada momen cukup memukau sepanjang 90 minit permainan, aksi berkenaan menyaksikan bekas pemain negara, Hafiz Kamal meledak gol berkualiti pada minit ke-55 permainan.
Jaringan tersebut terhasil selepas kapten Imigresen FC II itu melakukan voli selepas sepakan penjuru pasukannya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Aqil Syahmi Azizan.
Percubaan deras dilakukan bekas pemain Pahang itu menceritakan kualiti pernah dimilikinya masih belum pudar meskipun dia kini sudah memasuki penghujung karier dengan usianya mencecah 38 tahun.
Hafiz Kamal (kanan) beraksi cukup cemerlang sepanjang tiga musim bersama Pahang.
Ini merupakan kali pertama Hafiz mencetak gol dalam kempen Liga A1 Semi Pro 2025/26 dengan ledakan tersebut membuatkan rata-rata penyokong teruja akan gol cantik berkenaan.
"Rasanya ini merupakan jaringan paling lawa dan menarik dalam Liga A1 musim ini. Kalau susun lima gol tercantik secara keseluruhan, jaringan ini perlu diletakkan di kedudukan teratas," kata Din Condoriano.
"Pemain lama ini, hebat lagi nampaknya," kata Nor Hafiz Nh.
"Masih berbisa Hafiz Kamal ni," kata Nicklos Nex.
Imigresen FC II kini menduduki tangga ketiga Liga A1 Semi Pro selepas tiga perlawanan. — Facebook/AFL
Sepanjang kariernya, pemain kelahiran Pantai Remis, Perak itu pernah mewakili beberapa kelab tempatan, namun namanya paling diingati semasa beraksi buat skuad Tok Gajah.
Ini kerana selama tiga tahun bersama pasukan itu, Hafiz menjadi watak utama di sebalik kejayaan dua kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut serta gelaran Piala FA 2014.
Musim lalu, dia beraksi buat Imigresen FC dalam Liga A1 Semi Pro, tetapi tidak diserap ke dalam pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super dengan faktor usia memainkan peranan.
Bagaimanapun, kehadirannya dalam pasukan simpanan membawa impak memandangkan skuad bimbingan Azlan Ahmad itu berada di tangga ketiga selepas tiga perlawanan dengan empat mata sudah direkodkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram