Zara Qairina jatuh dalam keadaan berdiri, tak mungkin boleh tergelincir — Saksi


  • Kes
  • Khamis, 11 Sep 2025

Berdasarkan simulasi yang dijalankan, Allahyarhamah Zara Qairina dipercayai jatuh dalam keadaan berdiri dan mendarat dengan kedua kaki terlebih dahulu. — The Star

PAKAR Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Dr Jessie Hiu menyambung keterangan pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner petang ini berhubung hasil simulasi ketika sesi locus in quo di asrama Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada sebelah pagi, memetik laporan Harian Metro.

Pada sebelah pagi, beliau hadir pada prosiding secara locus in quo yang dibuat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Limauan, Kinarut, Papar.

Prosiding di Mahkamah Koroner petang ini dimulakan dengan pertanyaan pegawai pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad mengenai simulasi yang dibuat di lokasi kejadian itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan curi kabel gagal, lelaki terperangkap dekat tiang landasan MRT TTDI

BACA LAGI: ‘Klik Sebelum Gerak’, penumpang tidak pakai tali pinggang keledar akan disaman RM300 — JPJ

Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu (tengah). Facebook

Dr Jessie menerangkan dapatan simulasi menggunakan patung itu yang dibuat berdasarkan dua situasi berbeza, masing-masing dalam keadaan duduk dan berdiri.

Badiuszaman: Pagi tadi, kita membuat dua rekonstruksi di lokasi. Boleh terangkan kepada mahkamah apa dapatan simulasi itu?.

Dr Jessie: Dapatan rekonstruksi pagi ini berdasarkan dua senario, pertama ialah (patung) dalam keadaan duduk dan ditolak dari belakang.

Patung jatuh dari bangunan dengan muka ke bawah. Senario kedua adalah dalam keadaan berdiri dan jatuh terus ke bawah, patung jatuh ke longkang.

Badiuszaman: Adakah ia sama dengan dapatan pertama?.

Dr Jessie: Dalam kes ini ada dua parameter, pertama kecederaan di kedua kaki. Parameter lain ialah jarak dari bangunan. Senario pertama patung jatuh jauh dari bangunan tapi muka dan badan menghadap ke bawah.

Senario kedua, patung mendarat dengan dua kaki secara terus, tapi dekat dengan bangunan, bukan lokasi yang dipercayai lokasi kaki si mati mendarat.

Badiuszaman: Boleh beritahu mahkamah mana satu yang paling mungkin?.

Dr Jessie: Senario kedua, mendarat dengan kedua belah kaki.

Sementara itu, Dr Jessie menjelaskan arwah Zara Qairina mengalami kecederaan tulang patah yang teruk di bahagian tibia atau tulang betis disebabkan jatuh dari ketinggian.

Beliau menjawab pertanyaan peguam mewakili ibu arwah Zara Qairina, Rizwandean M Borhan yang menyatakan kemungkinan arwah mengalami kecederaan lebih teruk jika jatuh dari tingkat tiga bangunan.

Rizwandean turut menyatakan ada banyak kemungkinan yang boleh menjadi punca arwah jatuh, termasuk kemungkinan ditolak dan ia dipersetujui pakar patologi itu yang juga saksi pertama inkues sebelum ini.

Bagaimanapun, Dr Jessie menerangkan dalam kes arwah Zara Qairina, arwah mendarat dengan kakinya pada satu jarak dari bangunan asrama dan tidak mungkin boleh tergelincir.

"Saya setuju ada banyak kemungkinan jatuh, bagaimanapun dalam kes ini dia mendarat atas kaki pada satu jarak dari bangunan.

"Berdasarkan rekonstruksi (simulasi kejadian) pagi ini, dia tidak boleh hanya tergelincir dan jatuh menegak.

"Kita juga mewujudkan senario yang lain. Untuk mendapatkan kedudukan yang mana dia dipercayai mendarat, badannya mesti ke hadapan dan mendarat dengan kedua belah kaki dahulu," katanya.

Rizwandean turut bertanya sama ada Dr Jessie tahu jika ada ujian DNA dibuat ke atas palang besi di atas tembok koridor asrama di lokasi arwah Zara Qairina dipercayai berada sebelum jatuh pada 16 Julai lalu.

Dr Jessie bagaimanapun menidakkan perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram