
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara tidak lama lagi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihak mereka tidak akan memberikan tarikh tepat bagi memulakan penguatkuasaan tersebut.
Beliau berkata, JPJ akan memulakan dengan kempen advokasi terlebih dahulu melalui inisiatif ‘Klik Sebelum Gerak’ bagi menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar.
BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan curi kabel gagal, lelaki terperangkap dekat tiang landasan MRT TTDI
BACA LAGI: UPSI erat hubungan komuniti, 23 kontinjen meriahkan perarakan Maulidur Rasul
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah). — Facebook/JPJ
Tambahnya, kempen yang dilancarkan pada Khamis itu bertujuan meningkatkan budaya keselamatan jalan raya serta menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna kenderaan termasuk pemandu dan penumpang.
“Selaras dengan kempen ini, kami akan mengumumkan penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar untuk penumpang kereta persendirian tidak lama lagi.
“Kami akan maklumkan pada masa yang sesuai. Buat masa ini, kami fokus kepada kempen dahulu dan kemudian akan mengesahkan tarikh penguatkuasaan untuk penumpang kereta,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Individu yang gagal memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan denda sehingga RM300 berdasarkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (pindaan 2019).
Beliau menjelaskan bahawa kempen tersebut menunjukkan komitmen JPJ untuk memastikan setiap perjalanan bermula dengan langkah keselamatan paling asas iaitu memakai tali pinggang keledar.
JPJ akan mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar untuk semua penumpang kenderaan persendirian. — Agensi
Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), pemakaian tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kematian penumpang dalam kemalangan sehingga 50 peratus.
“Pemakaian tali pinggang keledar membantu memastikan pemandu dan penumpang kekal duduk dengan selamat semasa kemalangan, berbeza dengan mereka yang tidak memakai tali pinggang yang berisiko tinggi mengalami kecederaan serius.
“JPJ akan terus melaksanakan program advokasi, berkongsi maklumat melalui pelbagai saluran dan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan tahap pematuhan yang optimum.
“JPJ sangat komited menjadikan penggunaan tali pinggang keledar sebagai norma dan budaya keselamatan nasional demi melindungi nyawa semua pengguna jalan raya,” tambah beliau.
Sementara itu, Aedy Fadly memaklumkan penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar telah bermula bagi pemandu dan penumpang bas ekspres bas persiaran berkuat kuasa 1 Julai 2025.
“Kami telah mula menguatkuasakan dan mengeluarkan saman kepada penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dihasilkan selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tarikh tersebut diberi tempoh untuk memasang tali pinggang keledar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram