
PASUKAN penyelamat terpaksa dikerahkan awal pagi Khamis bagi menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dekat tiang landasan transit aliran massa (MRT) di Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
Operasi menyelamat dijalankan dengan segera selepas menerima panggilan kecemasan, melibatkan penggunaan peralatan khas untuk menurunkan mangsa dengan selamat daripada struktur tinggi tersebut.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.41 pagi, sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas ke lokasi.
BACA LAGI: UPSI erat hubungan komuniti, 23 kontinjen meriahkan perarakan Maulidur Rasul
BACA LAGI: Tak pelik pun pemain JDT hijrah ke Liga Australia, legenda Liverpool lebih awal ambil langkah sama
“Anggota operasi menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi menurunkan mangsa dengan selamat,” katanya.
Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai cuba mencuri kabel sebelum terperangkap di struktur tinggi landasan berkenaan.
“Operasi menyelamat melibatkan seramai 12 anggota dan pegawai lain-lain pangkat,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan mangsa dalam keadaan terperangkap di tiang MRT mencetuskan pelbagai reaksi warga maya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram