[VIDEO] 'Rasanya seperti baru semalam', Safawi Rasid pimpin 'generasi emas' terakhir Harimau Muda


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Momen paling manis yang masih segar dalam ingatan penyokong ialah kejayaan Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 pada Sukan Asia 2018.— Agensi

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sekali lagi gagal menepati jangkaan apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F saingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada Selasa.

Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir di Arab Saudi, malah mengulangi kekecewaan yang dialami pada Julai lalu apabila tersingkir di peringkat kumpulan Piala Asean B-23 selepas seri tanpa jaringan dengan Indonesia di Jakarta.

Dalam kempen kali ini, anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan saingan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Lubnan, sebelum bangkit garang membelasah Mongolia 7-0.

BACA LAGI: Tak pelik pun pemain JDT hijrah ke Liga Australia, legenda Liverpool lebih awal ambil langkah sama

BACA LAGI: [VIDEO] Anak Syihan hiburkan hati fans di SSI, buat ‘plot twist’ depan gol

Namun, mereka gagal mengekalkan momentum apabila kecundang kepada tuan rumah Thailand dalam aksi penentuan kumpulan.

Untuk rekod, skuad B-23 kebangsaan pernah layak ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak tiga kali pada edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Kegagalan kali ini mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, sekali gus mengimbau kembali kegemilangan skuad B-23 era 2017/2018, generasi emas yang sehingga kini belum dapat ditandingi.

Skuad yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee ketika itu mencipta pelbagai kejayaan membanggakan, antaranya mara ke suku akhir Piala Asia B-23 2018, layak ke perlawanan akhir Sukan SEA 2017 dan melangkah ke pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018.

Safawi Rasid (kiri) kini menyarung jersi The City Boys. — Facebook/klcityfc

Antara detik paling manis yang terus segar dalam ingatan penyokong adalah kejayaan bersejarah menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam saingan Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Bandung, Indonesia.

Dalam perlawanan tersebut, tonggak Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid muncul sebagai wira dengan dua jaringan penting.

Gol pertama hadir seawal minit kelima, memberikan kelebihan awal kepada Malaysia, manakala jaringan keduanya memastikan kemenangan kekal meskipun Korea Selatan berjaya merapatkan jurang di penghujung permainan.

Kejayaan itu dianggap luar biasa memandangkan Korea Selatan ketika itu merupakan juara bertahan dan antara pasukan paling digeruni di Asia, dengan kehadiran pemain bintang seperti Son Heung-min.

Prestasinya bersama pasukan itu turut menyaksikan reputasinya melonjak naik kerana selepas itu, dia semakin dikenali sehingga turut diangkat sebagai wira Johor Darul Ta’zim (JDT).

Meskipun rata-rata daripada pemain dalam pasukan itu turut menikmati karier yang baik, nama Safawi akan diingati sebagai bintang utama pasukan yang sukar dicari galang-ganti itu.

Safawi Rasid (tengah) tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol selepas memanfaatkan kesilapan mudah penjaga gol Korea Selatan. — Agensi

Kemenangan bersejarah tersebut bukan sahaja mematahkan dominasi Korea Selatan dalam kejohanan itu, malah disifatkan sebagai antara pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia di pentas Sukan Asia.

Ia turut menjadi titik tolak kepada kebangkitan semangat penyokong dan memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus percaya kepada kemampuan skuad B-23 kebangsaan.

Namun begitu, sejak era kegemilangan tersebut, tiada satu pun skuad B-23 kebangsaan yang berjaya mengulangi pencapaian hebat generasi 2017/2018.

Untuk rekod, Datuk Ong Kim Swee kini tidak lagi mengendalikan skuad kebangsaan. Beliau yang sebelum ini pernah membimbing Sabah FC kini meneruskan kerjaya sebagai ketua jurulatih kelab Liga 1 Indonesia, Persik Kediri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram