
JIKA ada satu kelab yang mengalami masalah semasa peringkat awal Liga Super setiap musim, pastinya Penang FC menjadi jawapan.
Selepas empat perlawanan, Harimau Kumbang masih lagi belum mencatatkan kemenangan dengan mereka sekadar seri sekali dan tewas tiga kali.
Kini menduduki tempat ke-11 dengan tugasan seterusnya berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), semuanya tidak mudah buat mereka.
BACA LAGI: 'Penang FC dah macam pusat transit bintang import veteran'
BACA LAGI: 'Yakini lokal', Sabah-Penang-TFC lebih utamakan bakat tempatan di atas padang
Masih belum menang
Jika dilihat kepada prestasi semasa, sememangnya penyokong Penang berhak untuk berasa risau dengan kedudukan semasa kelab.
Dengan tanpa sebarang kemenangan dalam aksi liga, Penang kini bersama-sama Melaka FC, Sabah FC, PDRM FC, Imigresen FC dan DPMM FC masih belum mencatatkan kemenangan.
Penang masih belum menang dalam Liga Super. — Penang FC
Namun, Melaka, Sabah, Imigresen dan DPMM masih boleh membaiki rekod itu kerana mereka baru beraksi tiga perlawanan dan bukannya empat seperti JDT.
Oleh itu, Penang berada pada kedudukan tidak bernasib baik kerana jika mereka kalah aksi kelima, pastinya lebih sukar Harimau Kumbang untuk mendaki carta liga.
Misi mustahil
Sudah pasti, perlawanan kelima Penang cukup berliku kerana mereka berdepan juara bertahan iaitu JDT.
Malah, ia boleh dikatakan sebagai misi mustahil kerana JDT bukannya lawan mudah untuk ditumpaskan ditambah mereka mempunyai ramai pemain warisan berkualiti.
Apa yang menjadikan ia semakin sukar adalah Penang bukannya beraksi di laman sendiri, sebaliknya mereka perlu bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan semestinya ia amat sukar untuk meraih keputusan positif di sana.
Mereka boleh mengambil inspirasi bagaimana Negeri Sembilan FC berjaya menjaringkan tiga gol menentang JDT di gelanggang mereka, mana tahu kejutan boleh berlaku?
Wan Rohaimi dalam perhatian
Sudah pasti, seorang individu yang akan menjadi perhatian akibat situasi semasa yang melanda Penang adalah pengendali mereka iaitu Wan Rohaimi Wan Ismail.
Selepas berjaya menstabilkan kelab pada musim lalu, harapan untuk Rohaimi berjaya meningkatkan lagi mutu Penang pastinya tinggi walaupun mereka berdepan kesukaran.
Kedudukan Wan Rohaimi pasti dalam bahaya jika mereka terus tewas. — Penang FC
Setakat ini, mereka cuma menang dalam Piala FA bertemu Melaka dan jika keadaan ini tidak berubah, sudah pasti adanya suara yang mahu Rohaimi berundur.
Lawan bertemu JDT sememangnya sukar, oleh itu Penang harus melakukan keajaiban untuk menyelamatkan musim mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram