‘Baju ngam-ngam pusat’, bekas ‘ubi muda’ terkenang nasib susah di saat gaji bintang Liga Super sudah cecah 5 angka


  • Podium
  • Isnin, 08 Sep 2025

Azri (berdiri, dua dari kanan) pernah bersama skuad Liga Super Selangor selama semusim.

SIAPA yang tidak Azri Walter? Seorang pempengaruh yang mempunyai empayar perniagaan yang disegani ramai.

Itu adalah Azri sekarang, namun ketika usia remajanya dia adalah seorang pemain bola sepak profesional yang pernah bersama kelab Liga Super selama semusim.

Menerusi perkongsiannya di media sosial, Azri menceritakan bagaimana peritnya menjadi pemain yang berada dalam skuad bawah umur dengan bergaji RM600 sebulan.

BACA LAGI: Awas Harimau Malaya, Palestin ada senjata rahsia 'buatan' Denmark

BACA LAGI: Akhirnya ada mahukan Onana, moga Man United tak menyesal seperti zaman de Gea

"Saya termenung di kedai mamak, tengok duit dalam poket lepas untuk makan roti kosong dan ais kosong sahaja. Dalam akaun (bank) dah tak ada apa. Gaji belum masuk lagi.

"Waktu tu umur saya 18 tahun. Takkan saya nak minta dengan mak abah, mereka pun tengah susah. Masa tu saya main untuk Selangor bawah 19 tahun (B-19), gaji saya RM600 sebulan," katanya di Facebook yang kini tular sejak Isnin.

Azri kemudiannya menceritakan kesusahannya ketika itu lebih-lebih apabila melihat rakan sebayanya yang sudah menembusi skuad Liga Super meraih pendapatan sehingga lima angka.

Ketika itu, rakannya sudah membawa kereta mewah sambil mempunyai teman wanita "berpakaian sendat sehingga baju paras pusat".

"Sedang saya termenung mengenang nasib sambil tunggu roti canai, kedengaran bunyi kereta nak masuk parkir, vroom vroom. Fuh kereta Proton Wira convert Evo.

"Kereta tu milik kawan saya sebaya saya dan satu sekolah dengan saya dan kami membesar bersama. Cuma rezeki dia masa tu dia dah main Liga Super. Gaji dia dah lima angka.

"Dia keluar dari kereta pakai baju belang-belang kolar ke atas, seluar jeans pendek dan jalan menuju ke meja bersama teman wanita dia rambut perang, baju ngam-ngam pusat.

"Bayangkan, kawan yang kau kenal dan membesar bersama lalu sebelah kau dalam keadaan dia ada banyak perkara dan kau masih miskin," ujarnya.

Walaupun waktu itu sukar untuknya, namun Azri kembali melawan dan menetapkan mindanya supaya bersyukur dengan apa yang diperolehnya dan kembali bangkit.

Keputusannya meninggalkan bola sepak profesional jelas membuahkan hasil apabila kehidupannya lebih baik berbanding ketika dia dalam sistem sukan negara.

"Kau boleh bayangkan perasaan sugul yang tiba-tiba menerpa? Saya tahu saya tak patut malu dan rasa rendah diri, tapi saya baru umur 18 tahun. Saya belum faham kehidupan. Setiap kali saya tengok kawan-kawan sebaya saya, saya rasa down sangat.

"Setiap hari saya cuba lawan perasaan rendah diri, setiap hari saya cuba fokus dengan hidup saya sendiri. Ia tak mudah, syaitan akan sentiasa membisik supaya saya tak nampak apa yang saya ada dan supaya saya rasa jauh daripada syukur dan supaya saya sentiasa hidup tertekan.

"ALHAMDULILLAH hasil usaha keras, saya dapat naik (ke skuad) Liga Super Selangor cuma rezeki saya satu musim sahaja. Habis musim tu, saya ditamatkan kontrak. Sejak itu saya buat keputusan berhenti jadi pemain bola sepak profesional, saya cuba explore cara lain (untuk) jana pendapatan. Saya cuba 1001 cara sehinggalah saya jumpa dunia bisnes.

"Hari ini saya berada di sini saya adalah Azri Walter yang ramai orang kenal dengan pelbagai pencapaian dan saya bangga dengan diri saya kerana berjaya melalui pelbagai cabaran dan sampai ke tahap ini," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram