
HARAPAN penyokong Harimau Malaya untuk melihat kelibat tonggak lincah, Faisal Halim dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin pada Isnin nampaknya tidak kesampaian apabila pemain sayap itu tidak tersenarai bersama skuad ke Johor Bahru, Johor pada Isnin.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor semasa yang membabitkan keadaan pemain berkenaan.
Menurutnya, walaupun kecederaan dialami Faisal tidak serius serta tidak menjejaskan kariernya, keputusan terbaik adalah untuk merehatkan pemain Selangor FC itu daripada tugasan kali ini.
BACA LAGI: Cklamovski tak mustahil eksperimen gandingkan tonggak JDT, Sabah dan Selangor
Faisal Halim direhatkan daripada tugasan kebangsaan menentang Palestin. — Facebook/Malaysia NT
Ketiadaan Faisal atau lebih mesra disapa Mickey membuka peluang buat Cklamovski mempertimbangkan beberapa nama lain sebagai pengganti di posisi sayap.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga calon yang dilihat berpotensi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Faisal menjelang perlawanan menentang Palestin yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
1) Mohamadou Sumareh
Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh terus dianggap aset penting buat Harimau Malaya berbekalkan pengalaman lebih 30 penampilan antarabangsa serta tujuh jaringan gol bersama skuad kebangsaan.
Antara detik paling diingati penyokong adalah ketika Sumareh menjaringkan gol kemenangan 2-1 menentang Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Asia 2019, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain sayap yang mampu memberi impak besar.
Sumareh merupakan calon yang sesuai untuk menggantikan Faisal Halim. — Facebook/JST
Dengan kelebihan kepantasan, kekuatan fizikal dan rekod kejayaan di peringkat kelab bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Sumareh diyakini mampu mengisi kekosongan di bahagian serangan meskipun hanya sempat beraksi satu perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini.
Berdasarkan rekod dan pengalamannya, pemain berusia 31 tahun itu dilihat sebagai calon utama yang bakal bersaing dengan dua lagi pemain lain untuk menggantikan posisi Faisal Halim dalam pertembungan menentang Palestin.
2) Darren Lok
Penyerang Sabah FC, Darren Lok kini muncul sebagai antara calon sesuai untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Faisal Halim dalam skuad kebangsaan.
Pemain berketinggian 1.74 meter itu berada dalam prestasi terbaik selepas mempamerkan rekod cemerlang di Liga Malaysia termasuk meledak hatrik ketika membantu Sabah menewaskan Bunga Raya 6-0 saingan Piala FA pada 17 Ogos lalu.
Aksi garang tersebut bukan sahaja membuktikan ketajaman penyudahnya, malah diyakini mampu menyuntik keyakinan untuk terus memburu jaringan sekiranya diturunkan menentang Palestin.
Hatrik bersama Sabah jadi bukti ketajaman, Darren kini disebut calon sesuai gantikan Faisal Halim dalam skuad Harimau Malaya. — Facebook/Sabahfc
Dengan prestasi semasa yang konsisten dan berpengaruh, Darren dilihat berpotensi menjadi pilihan utama Cklamovski untuk mengisi kekosongan di bahagian serangan Harimau Malaya.
Untuk rekod, Darren yang kini berusia 35 tahun sudah mencatat 36 penampilan bersama Harimau Malaya dengan sumbangan lima gol dan lima bantuan jaringan sepanjang aksinya di pentas antarabangsa.
3) Akhyar Rashid
Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid turut disebut sebagai calon sesuai untuk dipertimbangkan oleh jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Faisal Halim.
Pemain kelahiran Kedah itu kini berada pada prestasi meyakinkan selepas beraksi dalam lima perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Walaupun belum mencetak sebarang gol, Akhyar tetap memberi sumbangan penting dengan satu bantuan jaringan ketika membantu TFC membelasah DPMM FC 5-0 pada saingan Liga Super, 22 Ogos lalu.
Prestasi konsisten bersama TFC jadikan Akhyar calon sesuai ganti Faisal Halim di posisi sayap Harimau Malaya. — Facebook/TFC
Rekod itu menunjukkan Akhyar memiliki minit permainan yang baik sekali gus meletakkannya dalam radar Cklamovski untuk disenaraikan sebagai alternatif di posisi sayap.
Selain prestasi semasa, Akhyar yang kini berusia 26 tahun turut memiliki rekod cemerlang bersama skuad kebangsaan dengan 51 penampilan antarabangsa serta 10 jaringan, menjadikannya antara pilihan berpengalaman untuk menggalas cabaran Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram