'Wahai Selangor dan Terengganu, manfaatkanlah tempoh rehat di padang latihan'


  • Podium
  • Ahad, 07 Sep 2025

Terengganu FC dan Selangor FC perlu menggunakan tempoh jendela FIFA bagi memperbaiki kelemahan pasukan.

JENDELA FIFA yang sedang berlangsung ketika ini menyaksikan hampir kesemua negara terlibat dalam perlawanan sama ada berbentuk persahabatan mahupun kompetitif.

Tempoh tersebut sekali gus memberi ruang buat pemain yang tidak dipanggil ke kem latihan negara masing-masing untuk terus bersama kelab dan mengikuti sesi ditetapkan.

Ini turut disaksikan dalam kalangan pasukan tempatan yang terus mengadakan sesi seperti mana ditetapkan barisan kejurulatihan demi memastikan kecergasan pemain di tahap terbaik.

BACA LAGI: Terengganu FC kaku seperti ternampak hantu hingga bolos lima kali

BACA LAGI: [VIDEO] Kini berstatus ejen bebas, tak salah Terengganu 'rujuk' semula bekas top scorer dari Uzbekistan

Skuad Gergasi Merah belum membuktikan diri mereka sebagai pencabar utama musim ini. Facebook/Selangor FC

Selain berpeluang memastikan skuad berada dalam keadaan optimum, latihan sepanjang jendela FIFA memberi ruang untuk mengenal pasti kelemahan selepas beberapa minggu saingan peringkat domestik berlangsung.

Kesempatan itu juga perlu dimanfaatkan kelab Liga Super, terutamanya Selangor FC dan Terengganu FC yang masih belum mendapatkan rentak setelah hampir sebulan.

Skuad Gergasi Merah yang memulakan kempen dengan kekalahan 0-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus bergelut, lebih-lebih lagi pada minit-minit akhir permainan.

Berdasarkan statistik semasa, naib juara Liga Super 2024/25 berkenaan sudah melepaskan tujuh gol melepasi minit ke-75 permainan dengan catatan tersebut adalah disebabkan keletihan pemain.

Gol minit-minit akhir yang dilepaskan itu cukup merugikan, seperti ketika tewas kepada Negeri Sembilan FC dan seri dengan Buriram United dalam saingan Piala Shopee.

Chrigor (kanan) sudah membuktikan dirinya sebagai penyerang terbaik skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

Jadi, tempoh kira-kira dua minggu sepanjang jendela FIFA sepatutnya memberi ruang buat pengendali, Katsuhito Kinoshi untuk menambah baik tahap kecergasan pemain.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih dari Jepun itu boleh menggunakan masa dimiliki bagi mencari solusi terbaik buat jentera serangan kerana dua import iaitu Willian Lira dan Chrigor Moraes masing-masing merebut posisi itu.

Willian Lira dikatakan menjadi pilihan Kinoshi, namun kemasukannya dalam kesebelasan utama hanya melenturkan barisan hadapan Selangor FC yang sepatutnya dapat mencatatkan lebih banyak jaringan.

Pengendali Selangor FC itu perlu mencari alternatif buat kedua-dua penyerangnya itu kerana Chrigor diakui mempunyai derai penyudah lebih baik seperti mana ditonjolkan setakat ini.

Badrul Afzan perlu mencari solusi terbaik dalam menyusun pasukannya. Facebook/Terengganu FC

Sementara itu, Terengganu FC juga perlu mengambil kesempatan sepanjang jendela FIFA dengan menerapkan gaya permainan terbaik, terutamanya ketika berdepan pasukan lebih baik.

Skuad Sang Penyu sememangnya tidak bermasalah setiap kali bertemu kelab bawahan seperti DPMM FC dan Penang FC kerana mereka mudah mengawal permainan pada awal musim.

Bagaimanapun, kelemahan dan kealpaan pasukan akhirnya terdedah apabila anak-anak buah Badrul Afzan Razali itu bertemu Selangor FC pada 27 Ogos lalu sehingga menyaksikan mereka dibolosi lima kali.

Masalah terbesar dalam perlawanan itu dapat disaksikan setiap kali pihak lawan dapat menghidu peluang untuk membuat hantaran lolos ketika barisan pertahanan Terengganu FC cuba memberi tekanan.

Kelemahan skuad Sang Penyu terdedah semasa berdepan Selangor FC. Facebook/Terengganu FC

Hasilnya, dua daripada gol Selangor FC dalam pertembungan itu dihasilkan apabila pertahanan skuad Sang Penyu lewat menutup peluang daripada penyerang lawan.

Isu tersebut boleh diselesaikan sekiranya Badrul Afzan mempunyai perancangan pertahanan lebih tersusun untuk mengelak pihak lawan mengambil kesempatan sebegitu mudah.

Selain itu, skuad Sang Penyu perlu mengenal pasti pemain terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama, terutamanya dalam aspek gandingan bek tengah memandangkan Diego Landis bukanlah pasangan ideal kepada kapten, Shahrul Nizam Ros Hasni. 

Jika Selangor FC dan Terengganu FC dapat memanfaatkan tempoh berkenaan, tidak mustahil sekiranya mereka mampu memberi cabaran lebih baik selepas saingan Liga Malaysia kembali berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram