
ROMBAKAN besar-besaran yang dijanjikan bakal mengubah wajah Penang FC musim ini nyata sekadar omong kosong.
Selepas empat perlawanan, skuad Harimau Kumbang terus terumbang-ambing dengan corak permainan yang hambar, sekali gus membuktikan keputusan pengurusan untuk membawa masuk ramai pemain berusia tidak menjadi taruhan berkesan.
Hakikatnya, skuad kendalian Ketua Jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail itu kini seolah-olah menjadi 'pusat transit' pemain veteran.
BACA LAGI: Drama wisel pertama, Rafael Vitor kekal raja gol terpantas bersama import TFC-legenda Kelantan
Majoriti tonggak utama berusia 30 tahun ke atas, dan ia jelas mempengaruhi kelajuan serta intensiti pasukan.
Dalam liga yang semakin laju dan berintensiti tinggi, strategi itu hanya mengundang padah apabila Harimau Kumbang gagal menandingi rentak lawan yang dibarisi pemain muda bertenaga.
Kebergantungan terhadap Khairulazhan juga menampakkan kurangnya pilihan penjaga gol berkualiti dalam skuad Harimau Kumbang. — Penang FC
Malah, percaturan menurunkan penjaga gol berpengalaman, Khairulazhan Khalid, jelas tidak membuahkan hasil apabila dia dibolosi sebanyak tujuh kali dalam hanya empat perlawanan.
Statistik itu sekali gus mencerminkan kelemahan benteng pertahanan Harimau Kumbang yang gagal mengekang serangan lawan, meskipun menurunkan pemain berpengalaman.
Kebergantungan terhadap Khairulazhan juga menampakkan kurangnya pilihan penjaga gol berkualiti dalam skuad, sekali gus menjejaskan kestabilan pasukan di posisi terakhir itu.
Tidak dinafikan ada kelemahan di bahagian pertahanan tetapi bila situasi itu terjadi, penaga gawang Khatul Anuar dilihat seperti tidak diberikan peluang untuk membuktikan kehebatannya di Penang FC.
Lebih mengecewakan, barisan pemain import seperti Danilo Sipovac, Bruno Suzuki dan Tchetche Kipre yang diharapkan menjadi tonggak utama pasukan turut gagal menampilkan prestasi berkesan.
Kehadiran mereka tidak memberikan impak taktikal yang diharapkan, malah ada yang sekadar menjadi pelengkap skuad tanpa sebarang sumbangan signifikan.
Kegagalan pemain import ini jelas memberi kesan besar terhadap ketumpulan serangan dan kelemahan kreativiti pasukan, sekali gus mengundang persoalan mengenai strategi pemilihan dan perancangan taktikal Harimau Kumbang musim ini.
Sebagai perbandingan, Kuching City kelab yang dianggap kerdil dari segi bajet berjaya membuktikan bahawa keberanian mengetengahkan tenaga muda boleh menghasilkan impak besar.
Dengan kombinasi pemain tempatan berbakat, skuad kendalian Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak itu kini muncul pasukan yang semakin digeruni, walaupun status mereka bukanlah gergasi liga.
Keadaan itu mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan Harimau Kumbang yang dilihat tiada visi jangka panjang, sebaliknya hanya bergantung pada nama besar dan pengalaman lapuk.
Jika budaya ini berterusan, Harimau Kumbang berpotensi kekal di kelompok bawahan liga dan kehilangan sokongan penyokong yang semakin bosan dengan keputusan hambar.
Harimau Kumbang tidak memerlukan rombakan kosmetik semata-mata. Mereka memerlukan revolusi menyeluruh daripada falsafah bola sepak, pembangunan akar umbi, hinggalah keberanian memberi peluang kepada pemain muda.
Tanpa perubahan drastik, gelaran Harimau hanya tinggal nama, sedangkan taringnya semakin tumpul.
Bakal berdepan kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 September ini, skuad Harimau Kumbang perlu segera keluar dari zon selesa dan membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual liga.
Jika tiada perubahan drastik dari segi taktikal dan pemilihan pemain, Penang FC bakal menjadi lauk mudah Harimau Selatan, sekali gus terus memalukan penyokong setia. — Majoriti
Mamu Fendi merupakan peminat tegar Penang FC yang berasal dari George Town, Pulau Pinang
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram