
SELEPAS lama membanting tulang mencari rezeki, golongan pekerja di negara kita akan dapat menikmati hasilnya apabila mereka mengeluarkan wang persaraan apabila mencecah usia 60 tahun.
Lazimnya, selepas bersara, wang yang biasanya berjumlah ratusan ribu Ringgit Malaysia itu dijadikan sebagai modal berniaga atau melakukan pelaburan.
Akan tetapi, tindakan untuk memulakan perniagaan atau pelaburan pada usia emas sebegitu bukannya satu tindakan baik.
Menerusi perkongsian Nadzri Sazali di media sosial, dia mengingatkan agar golongan pesara tidak menggunakan wang persaraan sebagai modal untuk berniaga.
Hal ini kerana, ketika usia memasuki 60-an ia bukannya waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan atau pelaburan jika seseorang itu tidak mempunyai pengalaman.
"Ini pesanan khidmat masyarakat yang keras untuk warga pencen. Kalau 60 tahun tapi hidup tak pernah buat bisnes, tak pernah melabur, sekarang bukan waktunya.
"Salah faham paling besar dengan orang makan gaji, nak buat bisnes, nak melabur, kena ada modal besar. Itu yang semua gelap mata bila dapat keluar duit KWSP, tiba-tiba perasan boleh jadi Warren Buffet.
"Tak salah nak berimpian, tapi anda dah terlalu lambat untuk ambil risiko sebesar itu," katanya.
Tambah Nadzri, risiko memulakan perniagaan menggunakan wang persaraan adalah terlalu besar kerana jika ia hangus, pesara tidak mempunyai wang simpanan lain.
Dia juga tidak menyarankan golongan pesara untuk terikut-ikut kisah kejayaan Colonel Sanders yang memulakan perniagaan ayam goreng pada usia 62 tahun ia cuma satu daripada banyak kisah bisnes yang gagal.
"Masa kau umur 20, you have nothing to lose. Bisnes gagal? Buatlah lagi, ulang lagi, lagi dan lagi. Kau ada masa, kau ada tenaga. Kau tak ada masalah untuk kerja lebih waktu.
"Jangan kau tiba-tiba waktu ni nak petik cerita Colonel Sanders. Itu satu cerita daripada entah berapa ratus ribu (yang berlaku). Peratus nak jatuh tergolek tu jauh lagi besar," ujarnya.
Namun begitu, golongan pesara bukannya tidak boleh langsung untuk berniaga atau memulakan perniagaan.
Sebaliknya, mereka disaran untuk memulakannya dengan modal yang kecil supaya masih lagi ada wang untuk dinikmati semasa fasa persaraan.
"Bukan kata tak boleh berniaga langsung, tapi bermulalah dengan modal kecil. Jangan labur terlalu banyak. Harus diingat, bisnes yang hebat menggunakan modal besar untuk berkembang, bukannya untuk bermula.
"Lebih baik hidup tenang-tenang saja dengan baki duit yang ada. Anda tidak bertanggungjawab dah nak kayakan generasi seterusnya. Anda sudah cuba lakukannya, sekarang bukan masanya untuk ambil segala risiko," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram