
SELEPAS berteka-teki mengenai masa depan pemain Jerman, Florian Wirtz yang dikaitkan ke beberapa kelab, nampaknya hatinya sudah tertumpu kepada yang satu.
Pemain Bayer Leverkusen itu dikaitkan dengan ke Liverpool dengan kedua-dua kelab masih lagi dalam proses untuk mengesahkan perpindahan tersebut.
Walaupun kedua-dua kelab masih mencari nilai yang boleh disetujukan untuk perpindahan terjadi, namun keterujaan Wirtz sudah tidak boleh dibendung.
BACA LAGI: Rancak dengar pemain Malaysia dikait kelab luar, fikir-fikir dulu 2 faktor karier-kewangan
Lazimnya, ketika proses perpindahan masih berjalan, pemain akan mengelak untuk memberikan sebarang komen atau isyarat kerana segalanya belum sah.
Namun Wirtz secara terbuka memberikan harapan kepada penyokong Liverpool apabila memberikan isyarat jelas mengenai perpindahan ke kelab England itu.
Ketika bertugas bersama skuad kebangsaan Jerman, Wirtz ditanya dengan soalan, "teruja dengan Liverpool, Florian?"
Tanpa bersuara, pemain tersebut secara terbuka menangguk tanda setuju yang dia teruja dengan prospek menyertai Liverpool.
Setakat ini, Liverpool sudah menghantar dua bidaan kepada Leverkusen dengan kelab Jerman itu sudah menolaknya.
Namun begitu, bidaan ketiga sudah dihantar dan dijangka diterima oleh kelab itu dengan Leverkusen meminta bayaran setinggi £171 juta (RM982 juta) untuk pemain tersebut.
Bagi Wirtz, dia mengakui perpindahan ke Liverpool dilihat sebagai faktor perkembangan karier dan bukannya kerana wang semata-mata.
"Saya tidak kisah berapa banyak duit saya dapat dalam akaun atau berapa saya raih di masa depan. Semestinya, kita perlu dapatkan kontrak yang bagus, tapi bagi saya, dari sudut kesukanan adalah lebih penting daripada duit.
"Saya rasa ibu bapa saya akan marah bila saya terlalu gilakan wang. Selepas saya berpindah ke Leverkusen pada usia 16 tahun, ibu bapa saya uruskan gaji saya dan cuma berikan £126 (RM724) sebulan," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram