Jadi pilihan Man United berbanding Emi Martinez, Senne Lammens jelmaan De Gea atau sekadar Onana 2.0?


  • Podium
  • Khamis, 04 Sep 2025

Lammens (tengah) perlu pilih sama ada ingin jadi De Gea (kiri) atau Onana (kanan).

MANCHESTER United membawa masuk penjaga gol baharu iaitu Senne Lammens sebagai satu ikhtiar untuk menyelesaikan kelemahan di posisi tersebut.

Berusia 23 tahun, Lammens dibeli dari kelab Belgium, Royal Antwerp dengan cabaran besar untuk beraksi lebih baik berbanding Andre Onana dan Altay Bayindir.

Dengan ramai tidak mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Lammens, pembelian United dilihat seperti perjudian yang mungkin bawa untung atau rugi.

BACA LAGI: Man United enggan komen, Grimsby Town ‘senasib’ Liverpool angkara turun pemain tak layak beraksi

BACA LAGI: Kejutkan Man United, Grimsby Town jauh lebih murah berbanding TFC-JDT-Selangor buktikan nilai pasaran bukan segalanya

Adakah jelmaan De Gea?

Persamaan yang dapat dilihat antara Lammens dengan bekas penjaga gol United, David de Gea adalah usia mereka ketika tiba di kelab tersebut.

Kedua-duanya menyertai United pada awal 20-an dengan Lammens pada usia 23 tahun sementara De Gea lebih muda iaitu 20.

De Gea (kiri) menyertai United pada 2011.

Pemilihan Lammens dilihat sebagai pelaburan jangka panjang United untuk mempunyai seorang penjaga gol yang muda dan stabil mempamer persembahan cemerlang setiap minggu.

Ditambah dengan statistiknya agak baik dalam menyelamatkan percubaan lawan berbanding Onana, ia mungkin memberi sedikit harapan kepada penyokong

Mungkin Onana 2.0?

Walaupun dilihat mempunyai potensi sebagai penjaga gol berkualiti, namun Lammens juga berkemungkinan bakal menjadi Onana 2.0.

Sejak diumumkan sah menjadi pemain baharu United, timbul video kompilasi Lammens melakukan kesilapan menjaga gol (goalkeeping error) yang hampir serupa dengan apa Onana lakukan.

Jika Lammens adalah seorang yang error prone, United berdepan dengan situasi yang tidak menemui jalan penamat apabila mereka mempunyai tiga penjaga gol tidak berkualiti dalam skuad mereka.

Akan tetapi, De Gea ketika musim pertamanya di United juga sering melakukan kesilapan namun dia berjaya bangkit dan menjadi penjaga gol berkualiti terakhir yang The Red Devils ada.

Jadi pilihan berbanding Emi Martinez

United boleh dikatakan mengambil langkah berani dalam mendapatkan Lammens sedangkan mereka ada pilihan lebih baik iaitu penjaga gol Aston Villa, Emi Martinez.

Martinez yang secara terbuka mahu berpindah berminat untuk ke United dengan pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu dikatakan sudah berunding untuk ke Old Trafford namun tawaran rasmi tidak pernah tiba sehingga jendela perpindahan tamat.

Martinez sebelum ini dikatakan jadi buruan United.

Martinez yang sudah lazim dengan bola sepak England dilihat sebagai calon lebih baik berbanding Lammens walaupun dia sudah berusia 32 tahun.

Hanya masa akan menentukan sama ada Lammens akan menjadi jelmaan De Gea atau Onana versi 2.0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram