Garces kini dalam radar kelab EPL, calon pengganti idaman jika bek nekad ‘angkat kaki’ ke Liverpool


  • Podium
  • Rabu, 03 Sep 2025

Garces merupakan antara bek paling bernilai yang beraksi buat Harimau Malaya ketika ini. — Facebook/Malaysia NT

NAMA bek tengah negara, Facundo Garces terus mekar di Eropah selepas baru-baru ini, dia beraksi dalam saingan La Liga ketika pasukannya, Deportivo Alaves mengikat Atletico Madrid di laman sendiri.

Dia yang beraksi selama 90 minit berjaya mengekang serangan bertali arus pasukan digeruni yang dibarisi pemain berkualiti seperti Alexander Sorloth, Julian Alvarez serta Antoine Grienzmann.

Ini menunjukkan Garces memiliki nilai tersendiri buat Deportivo Alaves yang kini menduduki tangga ke-11 La Liga selepas tiga perlawanan dengan empat mata diraih setakat ini.

BACA LAGI: Lepas kehadiran Facundo Garces, media Argentina lapor penyerang kelab lama Bergson akan sertai HM

BACA LAGI: Bek warisan nafi dakwaan fans Indonesia, perjelas susur galur keluarga

Garces beraksi cemerlang sepanjang hampir enam bulan bersama Deportivo Alaves. Agensi

Reputasi pemain tersebut juga kelihatan sudah semakin terserlah selepas baru-baru ini, dia dilaporkan berada dalam radar kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti mana dikongsikan akhbar Sepanyol.

Dalam laporan dikeluarkan Cadenaser pada Rabu, mereka menyimpulkan segala aktiviti perpindahan berkaitan Deportivo Alaves sepanjang jendela perpindahan musim panas, termasuk yang melibatkan pemain warisan negara itu.

"Sebuah pasukan berpangkalan di EPL membuat tawaran mencecah €10 juta (RM49.2 juta) untuk Garces, namun ditolak. Mereka enggan kehilangan pemain penting hanya beberapa jam sebelum jendela ditutup," tulisnya.

Kenyataan tersebut menceritakan betapa pentingnya Garces buat skuad bimbingan Eduardo Coudet berkenaan, lebih-lebih lagi selepas menjadi watak utama pasukan musim lalu.

Dia yang baru sahaja berusia 25 tahun sudah tentu akan diangkat sebagai aset utama pasukan yang berusaha memperkukuhkan barisan pertahanan berbanding musim lalu.

Marc Guehi disebut-sebut akan disambar Liverpool sepanjang jendela perpindahan lalu. Agensi

Meskipun tidak diceritakan mengenai kelab yang mahu mendapatkan Garces, rata-rata pengguna media sosial beranggapan pasukan dimaksudkan ialah Crystal Palace.

Ini kerana pada penghujung jendela perpindahan, mereka ingin membawa masuk bek tengah baharu setelah hampir kehilangan kapten dan tonggak pasukan, Marc Guehi.

Pemain antarabangsa England itu dilaporkan berada dalam radar Liverpool selepas laporan menyatakan €40 juta (RM56.5 juta) sudah diterima Crystal Palace.

Bagaimanapun, perpindahan berkenaan gagal dimeterai kerana rundingan minit akhir menyukarkan pemenang Piala FA 2024/25 itu daripada membawa masuk pengganti dengan Garces sudah tentu menjadi antara pemain diinginkan.

Meskipun tidak disahkan, gosip tersebut menjadi perkhabaran hangat bahawa bintang warisan negara sudah memiliki nilai cukup berharga dan tidak mustahil sekiranya terdapat pemain Harimau Malaya dapat beraksi di pentas EPL pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram