Awas Harimau Malaya, Palestin ada senjata rahsia 'buatan' Denmark


  • Podium
  • Isnin, 08 Sep 2025

Bermain di MLS bersama Columbus Crew memberi peluang kepada Abou Ali untuk menentang Lionel Messi yang bermain untuk Inter Miami. — GettyImages

 

 

SELESAI tugasan pertama menentang Singapura yang menyaksikan Harimau Malaya melakar kemenangan 2-1, kini skuad kebangsaan sedang memberi fokus sepenuhnya berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Masih tidak mencatatkan sebanyak kekalahan sejak dibawah bimbingan Peter Cklamovski, Harimau Malaya pastinya ingin terus mengekalkan rentak positif berkenaan ketika berdepan lawan di ranking ke-98 dunia.

Sebagai rekod, Malaysia dibawah bimbingan jurulatih Australia berkenaan belum tewas di pentas kompetitif dengan rekod dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan pertamanya sejak dilantik pada awal tahun ini.

BACA LAGI: FAM ‘pecat’ Perlis FA, dilarang terlibat aktiviti bola sepak

BACA LAGI: Hadirnya pemain naturalisasi tak gugat motivasi bakat tempatan, bola sepak Malaysia masih ada sinar

Palestin mungkin dilihat sebagai sebuah negara yang bergolak dengan peperangan, namun kualiti skuad bola sepak mereka jelas jauh lebih baik susulan mempunyai ramai pemain berkualiti.

Antara pemain paling menyerlah skuad bimbingan Makram Daboub ialah Wessam Abou Ali susulan pemain berusia 26 tahun itu bukan calang-calang, malah nilai pasaran terkini mencecah €4 juta (RM20.4 juta).

Walaupun dilahirkan di Aalborg, Denmark, Abou Ali membuat keputusan berani untuk mewakili Palestin selepas pernah bersama skuad muda Danish Dynamite dari bawah 17 hingga bawah 20 tahun.

Debut antarabangsa bersama Palestin hadir pada Jun 2024 ketika menentang Lubnan dalam Kelayakan Piala Dunia dan sejak itu dia pantas membuktikan kredibiliti dengan meledak empat gol daripada 10 penampilan.

Dengan ketinggian 1.87 meter, Abou Ali sering menjadi mimpi ngeri pertahanan lawan susulan dia merupakan penyerang yang memiliki ketajaman penyudah luar biasa, selain keupayaan membaca pergerakan rakan sepasukan dengan baik.

Karier kelabnya juga tidak kurang hebat apabila Abou Ali melonjak sewaktu bersama Al Ahly di Mesir apabila muncul penjaring terbanyak Liga Mesir 2023/24 selain meraih lima trofi dalam tempoh dua musim.

Antara detik bersejarah pemain berkenaan termasuk hatrik menentang Porto dalam Kelayakan Piala Dunia Kelab, selain Abou Ali juga menjaringkan empat gol menentang Pharco di liga domestik.

Selepas meninggalkan Al Ahly, Abou Ali kini beraksi di Amerika Syarikat bersama kelab Columbus Crew dalam saingan Major League Soccer (MLS).

Perpindahan Abou Ali pada Julai 2025 bernilai €6.40 juta atau mencecah RM33.28 juta, sekali gus mengukuhkan reputasi pemain berkenaan sebagai antara penyerang Palestin paling bernilai.

Secara keseluruhan, Abou Ali telah merekodkan 239 penampilan dengan 112 gol serta 24 bantuan sepanjang karier profesional.

Dengan rekod dan pengalaman pemain yang membesar dengan DNA Denmark itu, tidak hairanlah jika Palestin dilihat memiliki ‘mesin gol’ yang mampu menghukum sebarang kelalaian pertahanan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram