
PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mengumumkan senarai akhir 23 pemain menjelang saingan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand dari 3 hingga 9 September ini.
Kehadiran tiga tonggak utama iaitu bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili serta penyerang Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney yang sebelum ini tidak disenaraikan atas pelepasan kelab akhirnya berada dalam kem latihan pusat di Thailand yang bermula sejak 18 Ogos.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Ahad mengesahkan ketiga-tiga mereka berada dalam senarai akhir 23 pemain skuad Harimau Muda yang bakal berdepan cabaran getir pasukan tuan rumah, Lubnan dan Mongolia.
BACA LAGI: Bintang Selangor, TFC ketuai cabaran Harimau Muda di Piala Asia B23
BACA LAGI: ‘Tiru macam Vietnam’, fans mahu KPG jadi jurulatih B23 di Piala Asia
Ubaidullah dilaporkan telah menyertai sesi latihan pasukan sejak awal minggu lepas sementara Aliff Izwan dan Fergus dijangka melengkapkan skuad dalam tempoh terdekat selepas kedua-duanya disenaraikan dalam pasukan masing-masing bagi aksi Liga Super minggu ini.
Kehadiran Ubaidullah dan Aliff Izwan, iaitu dua pemain yang diberi tanggungjawab sebagai kapten sebelum ini dijangka mengukuhkan struktur pasukan dari aspek pengalaman dan kepimpinan di atas padang sementara Fergus mampu menambah sengat di bahagian serangan.
Menarik dalam senarai itu, selain kehadiran tonggak utama, Nafuzi turut memberi peluang kepada beberapa pemain muda yang masih belum membuat penampilan sulung di pentas Liga Super.
Ia menjadi bukti keyakinan jurulatih dari Kelantan itu terhadap potensi mereka untuk menyerlah di pentas antarabangsa, selain menyeimbangkan skuad dengan gabungan pengalaman dan bakat baharu.
1) Moses Raj
Moses menyertai Selangor pada awal musim ini. — Facebook/SelangorFC
Kehadiran pemain muda, Moses Raj, menjadi antara tumpuan kem latihan pusat skuad B-23 susulan ini kali pertama dia sertai pasukan kebangsaan selepas tidak bersama pasukan ketika kempen Piala Asean B-23 di Jakarta, bulan lalu.
Bekas pelajar SMK Anderson itu mula mencipta nama ketika mewakili skuad Piala Presiden Perak, malah menjadi watak penting apabila membantu pasukan mencatatkan beberapa rekod clean sheet selain menjaringkan empat gol pada musim lalu.
Aksi konsisten tersebut membolehkan kontrak pemain berusia 20 tahun itu bersama Perak FC dilanjutkan, sebelum bakatnya berjaya disambar Selangor FC pada jendela perpindahan Julai lalu.
Walaupun sudah didaftarkan sebagai pemain skuad utama Gergasi Merah, pemain skuad Perak ketika Sukan Malaysia (SUKMA) itu masih belum mendapat peluang beraksi dalam saingan Liga Super.
Dengan kepantasan, keyakinan membaca permainan serta kekuatan fizikal, Moses dilihat sebagai salah satu prospek cerah untuk mengukuhkan jentera Harimau Muda di pentas antarabangsa.
2) Aysar Hadi Mohd Shapri
Aysar Hadi masih belum merekodkan aksi dalam saingan Liga Super. — Facebook/JDT
Pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Aysar Hadi sekali lagi mendapat kepercayaan untuk bersama pasukan kendalian Nafuzi Zain bagi membantu dalam kejoahanan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand.
Menariknya, pemain berusia 21 tahun itu masih belum merekodkan sebarang penampilan bersama skuad utama JDT dalam Liga Super, namun namanya sering menjadi pilihan untuk mengisi jentera Harimau Malaya B-23.
Sebaliknya, pemain yang mampu beraksi di posisi bek tengah dan tengah bertahan berkenaan merupakan tonggak utama pasukan JDT II dalam saingan Liga A1 Semi Pro untuk musim 2024/2025.
Konsistensi Aysar bersama JDT II serta prestasi meyakinkan ketika beraksi di pentas antarabangsa sebelum ini menjadi faktor utama dirinya terus diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.
Pemilihan berterusan Aysar turut mencerminkan hala tuju positif skuad B-23 yang bukan sahaja bergantung kepada pemain Liga Super, malah turut memberi ruang kepada bakat muda untuk mengasah kemampuan di pentas lebih besar.
3) Haziq Kutty
Haziq antara pemain muda sedang meningkat naik Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC
Pemain muda Penang FC, Haziq Kutty juga menjadi antara pilihan dalam skuad B-23 kebangsaan walaupun masih belum merekodkan penampilan bersama skuad utama pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.
Haziq yang juga adik kepada bekas tonggak Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba kini beraksi bersama skuad pembangunan Penang dan dianggap memiliki potensi besar untuk mengikut jejak langkah abangnya di pentas lebih tinggi.
Kualiti serta kebolehan teknikal terutama sebagai pemain tengah yang dimilikinya telah meyakinkan Nafuzi untuk terus memberi ruang kepada pemain muda itu mengasah pengalaman di peringkat antarabangsa.
Untuk info, tonggak berusia 20 tahun berkenaan sudah merekodkan empat penampilan untuk skuad B-23 dengan Haziq diberikan tugas untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan, bek tengah dan central midfielder.
Bersama skuad utama Harimau Kumbang, Haziq hanya tampil 26 minit dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA iaitu ketika Penang FC berhasil menewaskan Melaka FC dengan keputusan 2-0 di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram