[VIDEO] Siapa pun yang main, saya tetap dengan falsafah saya — Peter Cklamovski


  • Podium
  • Ahad, 07 Sep 2025

Palestin ketika ini berada di ranking ke-98 manakala Malaysia di tangga ke-125. — Facebook/MalaysianNT

SKUAD kebangsaan mempunyai lebih daripada sekadar maruah untuk dipertaruhkan dalam aksi persahabatan menentang Palestin di Stadium Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin. 

Perlawanan itu bukan sahaja menawarkan suntikan semangat tepat pada masanya menjelang kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober, malah peluang untuk mencatat kemenangan ke atas pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan ranking dunia Malaysia.

Palestin ketika ini berada di ranking ke-98 manakala Malaysia di tangga ke-125, dan kemenangan ke atas pasukan Asia Barat itu pasti memberi lonjakan besar dalam kedudukan tersebut. 

BACA LAGI: Akui persaingan sengit, Harith Haiqal sedia beri segalanya demi Harimau Malaya

BACA LAGI: FAM belum umum, kelab Sepanyol sudah sahkan bintang warisan perkuat 2 aksi 'friendly' Harimau Malaya

Ranking yang lebih baik juga akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam proses pengundian jika skuad bimbingan Peter Cklamovski berjaya layak ke Piala Asia 2027.

Namun, tugas itu bukan sesuatu yang mudah kerana kemenangan terakhir Malaysia ke atas Palestin berlaku 24 tahun lalu iaitu kemenangan 4-3 pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2001 di Doha, Qatar.

Jurulatih dari Australia itu dijangka melakukan beberapa perubahan bagi pertembungan kali ini, dengan barisan kejurulatihan beliau berkemungkinan menyusun semula kesebelasan utama demi memastikan keputusan positif buat skuad kebangsaan.

“Ya, sudah tentu, saya percaya akan ada beberapa perubahan, sedikit rombakan, dan kita akan lihat bagaimana hasilnya. 

“Kami masih ada satu lagi sesi latihan untuk dilalui pada Isnin, yang sangat penting. Tidak kira siapa yang diturunkan, saya tetap berpegang teguh pada falsafah ini.

“Perkara paling utama adalah kami bermain dengan corak bola sepak kami sendiri dan memberi tumpuan kepada apa yang penting buat pasukan.

“Ini adalah peluang untuk menguji diri menentang lawan yang kuat, jadi sesiapa sahaja yang turun beraksi akan berpeluang menyarung jersi ini sekali lagi dan membuatkan negara berbangga," kata Cklamovski pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu (6 September). 

Malaysia bagaimanapun akan beraksi tanpa tiga tonggak utama iaitu Dion Cools, Facundo Garces dan Faisal Halim, yang kesemuanya tampil ketika kemenangan 2-1 ke atas Singapura pada Khamis lalu. — The Star/ADAMZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram