
SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan akhirnya meraih tiga mata pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 selepas menundukkan Mongolia menerusi keputusan 7-0 dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu.
Hatrik Fergus Tierney, dua gol Aliff Izwan Yuslan serta satu yang masing-masing dicetak Aysar Hadi dan Ziad El Basheer memberi harapan buat pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu untuk mara ke pusingan seterusnya.
Ini selepas mereka memulakan kempen dengan langkah kiri berikutan kekalahan tipis 0-1 kepada Lubnan B-23 yang membuatkan rata-rata peminat berasakan peluang negara untuk lolos semakin nipis.
BACA LAGI: Umum 25 pemain ke Piala Asia B-23, tapi bintang Sabah-TFC 'hilang’ dari senarai
BACA LAGI: Ex coach anggap skuad B-23 bukti pembangunan bola sepak Malaysia jauh ketinggalan
Fergus Tierney (atas) meledak hatrik untuk memastikan tiga mata milik skuad B-23 negara. — Facebook/Malaysia NT
Persembahan mengecewakan dalam aksi pembukaan itu turut membuatkan sesetengah penyokong mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar melakukan perubahan terhadap barisan kejurulatihan.
Desakan itu sudah tentu akan disenyapkan buat sementara waktu susulan kemenangan ke atas Mongolia B-23 yang kini meletakkan anak-anak buah Nafuzi di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, masih terdapat keluhan daripada peminat yang berpandangan lebih banyak jaringan boleh dicetak sekiranya barisan hadapan lebih prolifik dalam setiap peluang terhasil.
"Rasanya boleh lebih dari 10 gol, cuma tidak bernasib baik. Penjaga gol negara juga beraksi cemerlang, ada tiga percubaan lawan yang boleh menghasilkan jaringan," kata Suf Reen.
Nafuzi perlu memastikan persembahan cemerlang ditampilkan pada perlawanan terakhir kumpulan. — Facebook/Malaysia NT
"Patut minimum 10 gol, sudah berada dalam situasi satu lawan satu pun tak boleh skor. Patut gol selagi boleh. Selepas ini berdepan Thailand, jangan lakukan perangai sedemikian," kata Zaffa SevenS.
"Walaupun menang besar, banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki Nafuzi. Paling ketara adalah berkenaan hantaran lemah dan kurang persefahaman antara pemain. Masih ada masa untuk perbaiki," tulis Mohd Shukri.
Skuad kebangsaan perlu mengharapkan perlawanan antara Thailand dan Mongolia berakhir dengan keputusan seri bagi mencerahkan peluang berada dalam kelompok dua teratas.
Tiga mata penuh juga perlu dicatatkan dalam aksi penutup berdepan Thailand pada Selasa depan untuk melonjak skuad muda yang perlu bersaing di pentas Piala Asia B-23 demi pengalaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram