'Last minute signing', syukurnya bintang import Liga Super sempat kena ikat sebelum 'transfer window' ditutup


  • Podium
  • Rabu, 03 Sep 2025

JDT, Terengganu dan Imigresen FC antara kelab yang membawa masuk pemain baharu pada hari terakhir jendela perpindahan.

 

PADA Isnin secara rasminya jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) ditutup yang menyaksikan beberapa kelab Liga Super memanfaatkan peluang untuk mendaftarkan pemain baharu. 

Fenomena 'last minute signing' bukan perkara asing dalam bola sepa tempatan, malah sering menjadi strategi beberapa pasukan yang menunggu peluang terbaik sebelum memuktamadkan rundingan.

Mengambil pemain pada minit-minit akhir kadang-kala disebabkan kecederaan tonggak utama selepas beberapa perlawanan awal dan ada juga disebabkan kakalahan yang asyik menjadi 'bala' buat kelab.  

BACA LAGI: Bola sepak Kedah seperti tiada sinar, masih awal dinilai atau hala tuju kurang jelas?

BACA LAGI: Hadirnya pemain naturalisasi tak gugat motivasi bakat tempatan, bola sepak Malaysia masih ada sinar

Walau apapun alasan yang menjadi faktor penolak pasukan mengambil pemain baharu, masing-masing juga pasti mempunyai matlamat sama iaitu mahu merekodkan tiga mata sebanyak mungkin dalam saingan Liga M musim ini. 

Musim ini, kira-kira tiga kelab Liga M tampak sudah mengambil pemain baharu pada 31 Ogos lepas dengan ada di antaranya sudah mengumumkan wajah baharu berkenaan di platform media sosial mereka. 

Tidak kurang juga ada kelab yang masih belum mengumumkan pemain baharu mereka meskipun khabar angin mengenainya sudah menjadi bualan penyokong masing-masing.

Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga kelab sempat ikat pemain baharu sebelum tutupnya jendela.

1) Johor Darul Ta'zim 

Seperti musim sebelumnya, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mendaftarkan pemain baharu pada hari terakhir dengan kehadiran mereka diumumkan secara rasmi pada 1 September 2025 di media sosial Harimau Selatan. 

Dua pemain baharu yang sudah didaftarkan sebagai tonggak baharu juara 11 kali berturut-turut Liga Super itu ialah bek kanan dari Sepanyol, Raul Parra dan bintang La Liga 2 iaitu Ager Aketxe. 

Untuk rekod, Parra menghabiskan musim lalu beraksi bersama Al-Mina’a SC serta Eldense secara pinjaman dari Estoril dengan pemain berusia 25 tahun itu merekodkan 20 penampilan keseluruhan buat kelab Iraq dan Sepanyol itu.

Manakala, Aketxe yang sebelum ini beraksi untuk Real Zaragoza dikenali sebagai pakar sepakan percuma dengan di Sepanyol, namanya cukup sinonim dengan sepakan jarak jauh deras dan tepat menggunakan kaki kiri.

Kehadiran dua pemain dari Sepanyol itu jelas akan memberi nilai tambah buat skuad kendalian Xisco Munoz lagi-lagi selepas JDT dikejutkan dengan bolos tiga gol di laman sendiri ketika menang 5-3 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada 12 Ogos lepas. 

2) Imigresen FC

Tangkap layar Insta Story Wilmar pada Ahad lepas.

Naib juara Liga A1 Semi Pro musim 2024, Imigresen FC dilaporkan akan membawa masuk seorang penyerang import iaitu Wilmar Jordan yang sebelum ini bermain untuk kelab Honduras, FC Motagua. 

Walaupun skuad The Mighty Tiger masih belum mengumumkan ketibaan pemain berkenaan, kelibatnya yang sudah berada di Kuala Lumpur itu membuatkan penyokong Imigresen yakin Wilmar akan memperkuatkan jentera serangan mereka. 

Secara keseluruhannya, nama Wilmar mungkin masih kedengaran asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan tetapi, tetapi hakikatnya dia sebenarnya pernah dikaitkan dengan Perak FC pada pada musim lalu.

Sepanjang kariernya, rekod terbaik Wilmar hadir ketika menyarung jersi Litez Lovech dalam saingan Liga Bulgaria apabila meledak 35 gol serta mencipta 11 bantuan jaringan daripada 64 penampilan bersama kelab berkenaan.

Dengan reputasi yang dibawa, Wilmar diyakini mampu memimpin barisan serangan Imigresen FC pada musim ini, sekali gus menjadi sandaran utama pasukan untuk memburu jaringan penting dalam saingan liga. 

3) Terengganu FC

Min Oo menarik minat skuad Sang Penyu. — Instagram/MinOo

Kapten PDRM FC, Kyaw Min Oo dilaporkan telah berhijrah ke Terengganu FC (TFC) pada hari terakhir jendela perpindahan pertama musim 2025/26 dalam memperkuatkan barisan pertahanan mereka yang sebelum ini sering menjadi titik kelemahan pasukan.

Sebelum ini, pemerhati sukan tanah air iaitu T. Avineshwaran mendedahkan bahawa skuad Sang Penyu berjaya mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Myanmar itu sebagai usaha mencari solusi terhadap masalah kerapuhan benteng mereka. 

Statistik semasa menunjukkan, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali dibolosi sebanyak lapan kali dalam hanya lima perlawanan Liga M, termasuk kekalahan 5-2 menentang Selangor FC baru-baru ini yang sekali lagi mendedahkan kelemahan di bahagian pertahanan.

Selain pengalamannya sebagai kapten PDRM, kehadiran pemain berusia 27 tahun itu juga dilihat dapat memberi ketenangan serta kepimpinan di atas padang, sekali gus membantu menstabilkan corak permainan pasukan. 

Dengan perpindahan minit akhir berkenaan, penyokong Terengganu pastinya menaruh harapan besar agar benteng mereka kembali kukuh dalam misi mengejar kedudukan lebih baik dalam saingan liga. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram