[VIDEO] Kerjasama MCMC, polis tumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu di Kuala Lumpur


  • Kes
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Individu yang ditahan (kanan) memberikan keterangan kepada MCMC. — MCMC

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berjaya menumpaskan sindiket penyebaran pesanan maklumat ringkas (SMS) palsu dalam satu operasi bersepadu.

Dikenali sebagai Op Pancing, operasi yang turut dilakukan bersama-sama pihak polis berjaya menumpaskan sindiket operasi yang menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) sebagai modus operandi.

Menurut MCMC, seorang individu berjaya ditangkap selepas menerima maklumat oleh orang awam berserta risikan ketika sedang mengendalikan peralatan itu dalam sebuah kenderaan berdekatan premis membeli belah di Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Kes Zara: Pengguna Facebook dipanggil MCMC, keluarkan kenyataan berunsur 3R

BACA LAGI: MCMC panggil Muhyiddin Yassin, beri keterangan sebagai saksi

Semasa ditangkap, alatan tersebut sedang berfungsi dengan ia menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.

"Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan polis telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

"Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih," kata MCMC dalam kenyataan.

MCMC merampas 45 barangan dengan nilai anggaran RM100,000 dengan individu ditahan itu dirakam keterangannya untuk membantu siasatan.

Kes disiasata di bawah Seksyen 239(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh menyebabkan denda RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Kesan ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram