
PERTEMBUNGAN epik antara Harimau Malaya dan Singapura yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis menyajikan penonton dengan momen-momen hangat sepanjang 90 minit permainan.
Jaringan mengejutkan Ilhan Fandi dan persembahan bertenaga anak-anak buah Peter Cklamovski boleh dikatakan antara titik perbincangan menarik di sebalik kemenangan 2-1 negara diraih skuad kebangsaan.
Tidak cukup dengan itu, detik menarik juga dapat disaksikan dalam terowong pemain sebelum sepak mula apabila dua bekas rakan sepasukan sempat berkongsi momen menyentuh hati.
BACA LAGI: Ada 3 sebab perpindahan Safuwan Baharuddin ke Lion City Sailors bawa rahmat
BACA LAGI: Rebah 2 kali di bumi Thailand, Katsuhito Kinoshi perlu segera cari pengganti Orozco, Safuwan
Safuwan (tengah) memegang jersi Faisal ketika pemain itu masih menerima rawatan disebabkan simbahan asid. — Facebook/Selangor FC
Mereka yang dimaksudkan ialah bintang negara, Faisal Halim serta kapten Singapura, Safuwan Baharudin yang kedua-duanya pernah berkongsi bilik persalinan ketika beraksi buat Selangor FC dan Pahang FA.
Dalam rakaman dimuat naik Astro Arena, dua pemain terbabit sempat berpelukan sebelum perlawanan dengan detik itu menceritakan hubungan kukuh antara mereka.
Meskipun tidak dapat dipastikan perbualan di sebalik pertemuan itu, Safuwan kelihatan berkali-kali menepuk perlahan dada Faisal yang seakan-akan menjadi tanda untuknya terus tabah.
Ini kerana Faisal sekali lagi diuji apabila baru-baru ini, dia dilaporkan sedang dalam proses penceraian dengan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.
Ujian dihadapi penyerang sayap Selangor FC itu pastinya cukup pahit untuk ditelan kerana hanya kira-kira setahun lalu, dia menjadi mangsa simbahan asid yang menjejaskan persembahannya.
Safuwan yang sebelum ini memikul peranan kapten skuad Gergasi Merah menjadi antara pemain paling lantang dalam menyokong Faisal ketika dia menerima rawatan.
Di samping menceritakan kisah di sebalik insiden tersebut, bek tengah kental berkenaan pernah meraikan jaringan dengan memegang jersi rakan sepasukannya itu selain menggunakan aksi 'siu' yang cukup popular dengan Faisal.
Bagaimanapun, kemelut pengurusan menyaksikan Safuwan dipinjamkan ke kelab Singapura, Lion City Sailors dengan keputusan terbabit menimbulkan rasa kurang senang.
Pemergian pemain tersebut menyaksikan peranan kapten Selangor FC kini dipikul Faisal yang kerap mencurahkan motivasi buat rakan sepasukan bagi aksi di peringkat domestik mahupun Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram