
SKUAD Harimau Malaya dijadualkan beraksi dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin pada 4 dan 8 September.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski sebelum ini mengesahkan kedua-dua perlawanan itu bagi menggantikan penyertaan Malaysia dalam kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Malaysia sebelum ini dilaporkan menarik diri daripada kejohanan tersebut selepas perubahan tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela FIFA.
BACA LAGI: Bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini — Isteri Faisal Halim
BACA LAGI: [VIDEO] JDT ulangi momen 'umum' lepas 'transfer window' ditutup, masih ingat kisah Junior Eldstal?
Harimau Malaya dilihat cukup bersedia untuk melayan kunjungan Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis. — Malaysia NT
Perlawanan pertama bakal berlangsung menentang Singapura pada Khamis (4 September) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, manakala pertemuan kedua menentang Palestin akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor empat hari kemudian.
Berdasarkan ranking terkini FIFA, Palestin berada di tangga ke-98 dunia, manakala Singapura di kedudukan ke-159.
Perlawanan persahabatan itu menjadi persiapan penting buat skuad kebangsaan menjelang baki aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bersambung pada Oktober nanti.
Menariknya, pertemuan dengan Singapura mengimbau kembali kenangan pahit buat penyokong tempatan apabila Malaysia gagal melangkah ke pusingan kalah mati Piala Asean 2024.
Dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada 20 Disember musim lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad kebangsaan hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Singapura.
Keputusan itu mengesahkan Singapura sebagai naib juara kumpulan sekali gus menamatkan impian Malaysia untuk mara ke pusingan kalah mati.
Walaupun Malaysia yang memerlukan kemenangan mendominasi permainan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya, skuad kebangsaan gagal menembusi gawang lawan.
Susulan pengalaman pahit tersebut, skuad kebangsaan disarankan agar tidak memandang rendah kemampuan Singapura yang pernah meranapkan impian Malaysia dalam kejohanan serantau sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram