
KAPTEN Selangor FC, Safuwan Baharudin sah dipinjamkan ke kelab Singapura, Lion City Sailors FC.
Perpindahan secara pinjaman itu diumumkan oleh Lion City Sailors menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab gergasi Singapura itu baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, Lion City Sailors dengan teruja mengumumkan peminjaman tonggak antarabangsa berpengalaman Singapura, Safuwan Baharudin bagi menghadapi musim 2025/26.
BACA LAGI: Bukan laluan Selangor saja berliku, Harimau Selatan juga perlu waspada 'jerat' kelab Singapura
Safuwan kini dikhabarkan bakal dipinjamkan ke kelab Singapura, Lion City Sailors FC. — Facebook/Selangorfc
Pengarah Eksekutif Lion City Sailors, Bruce Liang berkata, kelebihan yang dimiliki oleh Safuwan bakal memberi suatu nilai tambah baharu buat pasukan bagi menghadapi musim akan datang.
Katanya, kehadiran Safuwan yang tenang, mentaliti mencapai kemenangan dan kepelbagaian posisi bakal menambahkan kekuatan serta ketebalan penting kepada pasukan Singapura itu.
Perpindahan secara pinjaman itu dijangka memberi peluang buat Safuwan untuk kembali beraksi secara kompetitif di negara kelahirannya, sekali gus membuka lembaran baharu dalam karier profesionalnya.
Malah, Safuwan bukan sahaja akan menikmati peluang bermain secara konsisten, tetapi juga beberapa kelebihan lain dalam usahanya menghidupkan semula kariernya.
1. Masih berpeluang beraksi di Asia
Lion City Sailors FC merupakan antara kelab terkuat di Liga Perdana Singapura (SPL) dan secara konsisten bersaing di pentas Asia seperti Liga Juara-Juara AFC.
Jika menyertai kelab tersebut, Safuwan berpotensi untuk kembali ke pentas bola sepak serantau, memberikan pendedahan dan tahap kompetitif yang lebih tinggi dalam fasa akhir kariernya.
Malah, Safuwan turut berpeluang untuk berdepan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Shopee 2025/2026 memandangkan kedua-dua pasukan itu dijadualkan dalam kumpulan yang sama iaitu Kumpulan B.
Pengalaman luas Safuwan di Liga Malaysia pastinya menjadi aset berharga bagi Lion City Sailors untuk memberi saingan sengit kepada Harimau Selatan.
Sekiranya benar dipinjamkan ke Singapura, Safuwan dijangka berpeluang untuk bertemu JDT saingan Piala Shopee. — Facebook/Selangorfc
2. Buktikan diri di negara sendiri
Sebagai antara pemain Singapura paling berpengalaman dan pernah mencipta nama di Malaysia, peluang beraksi di tanah air merupakan platform terbaik buat Safuwan membuktikan bahawa dirinya masih relevan dan berkualiti.
Ia juga boleh menjadi ruang untuk menutup keraguan segelintir pihak terhadap komitmennya sekiranya benar digugurkan oleh Selangor akan datang.
Bermain di negara sendiri bukan sahaja memudahkan proses penyesuaian, tetapi juga memberi ruang untuk menonjolkan kembali kualiti serta kemahiran yang dimilikinya.
3. Peluang beraksi di samping rakan senegara
Kepulangan ke liga domestik juga membolehkannya beraksi bersama beberapa pemain kebangsaan Singapura yang lain termasuk Ilhan Fandi.
Kombinasi itu dijangka memudahkan proses penyesuaian dan membantu meningkatkan prestasi kelab secara kolektif, sambil memelihara kestabilan prestasi individu dalam peringkat antarabangsa.
Safuwan kini dalam fasa penting untuk menentukan hala tuju kariernya dan sekiranya proses pinjaman ke Lion City Sailors dimuktamadkan, ia bakal menjadi langkah positif untuk menghidupkan semula karier profesional yang pernah mencuri perhatian di Malaysia satu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram